Curi RM85 tabung surau, pengganggur kena penjara 6 bulan
Seorang penganggur dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret diKuala Lumpur hari ini kerana mencuri wang tabung surau milik Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Majistret Husna Dzulkifly memerintahkan Muhammad Khairul Shah Abdullah, 26, menjatuhi hukuman selepas dia mengaku mencuri wang tabung surau berjumlah RM85 di aras tujuh, Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur, jam 1.25 pagi, 16 Dis lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan pengawal keselamatan sedang bertugas di lobi Wisma tersebut apabila tertuduh meminta kebenaran untuk berjumpa rakannya di tingkat sembilan.
Selepas 10 minit, pengadu berasa curiga kerana tertuduh belum keluar lalu membuat pemeriksaan dalam bangunan itu dan semasa di tingkat tujuh, pengadu mendapati tertuduh sedang mengorek tabung dalam surau untuk mengeluarkan wang.
Pengadu telah menghubungi polis dan wang berjumlah RM85 berada di tangan tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarganya manakala Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farith Muhammad Faizal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
- Bernama

