Portal pro-Umno menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai 'lebai malang' setelah diuar-uarkan bakal menjadi timbalan perdana menteri sementara sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Untuk apa Muhyiddin membuat segala macam kerja kotor semasa menjadi timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno kalau diakhrinya dia hanya akan diberikan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri – jawatan terakhir yang dia sandang sebelum dibuang?

"Interim (sementara) pulak tu!, itu namanya buang masa. Anwar Ibrahim dulu bekas TPM juga, dia tidak bercita cita hendak jadi TPM semula setelah masuk pembangkang. Anwar bercita cita jadi PM.," kata penulis yang bergelar Beruang Biru dalam portal mykmu.net.

Justeru, katanya lagi, perjalanan politik Muhyiddin tidak akan ke mana mana kerana beliau dan parti pimpinannya ternyata tidak berdaya untuk membantah keputusan DAP.

Beberapa hari yang lalu, veteran DAP, Lim Kit Siang telah mencadangkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika pembangkang memenangi PRU akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan cadangan Lim itu sebagai satu jenaka politik.

Mengulas lanjut, kata penulis dengan nama pena itu lagi, di akhirnya, Muhyiddin akan dilihat sebagai lebai malang yang menerima pembalasan penuh dari Tuhan atas semua pengkhianatan terhadap perdana menteri dan Umno yang dilakukannya.

"Konon lawan Najib sebab nak jadi Perdana Menteri tapi diakhirnya, jadi Timbalan Perdana Menteri jugak balik – sementara pulak lagi," tambahnya.