Kementerian Luar Russia mengesahkan dutanya ke Turki telah ditembak mati di Ankara semalam selepas tersebarnya rakaman video menunjukkan penyerang yang dikenal-pasti sebagai seorang anggota polis.

Penyerang juga dilaporkan melaungkan "Allahu Akbar" beberapa kali dengan disertakan hadis para sahabat Nabi Muhammad SAW yang digunakan secara meluas antaranya oleh pemberontak Syria.

Dia juga mengecam keadaan di Aleppo sebelum melepaskan tembakan.

Russia menyifatkan pembunuhan Andrey Karlov, seorang diplomat veteran sebagai 'tindakan keganasan', kata jurucakap Kementerian Luar Maria Zakharova di laman Facebooknya.

Kementerian Luar Turki juga mengutuk insiden tersebut dan mengaitkannya dengan keganasan, memetik laporan dpa.

"Kami sedang berhubung dengan para pegawai Turki yang menerima pengesahan siasatan menyeluruh, pelbagai hala akan dijalankan," kata Zakharova dalam ulasan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Russia, Tass.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin turut bercakap melalui telefon tentang pembunuhan itu, lapor agensi berita Anadolu, memetik jurucakapnya.

Sementara itu, pembunuh berkenaan dikenal pasti sebagai Mevlut Mert Aydintas, 22, seorang anggota polis antirusuhan di Ankara.

Beliau dikatakan bertindak demikian kerana membantah pembabitan Russia di Aleppo, Syria.

Setakat ini belum dapat disahkan jika dia mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan.

Insiden itu berlaku sehari selepas tunjuk perasaan di Turki bagi membantah sokongan Russia terhadap Presiden Bashar al-Assad.

[Baca berita asal]