Rafizi serah ‘surat cinta’ saran Najib isytihar harta
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli telah mengutus sepucuk surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa beliau untuk mengisytiharkan harta di bawah Akta Akuan Bersumpah (SD) 1960.
"Jika benar Dato Seri benar-benar sayangkan negara, mengasihani rakyat dan takut kepada Allah SWT, Dato Seri sepatutnya tidak akan teragak-agak untuk menjadi orang pertama mengisytiharkan harta mengikut kaedah ini.
"Ia bukan sahaja akan menjadi teladan yang bakal diikuti semua orang, ia boleh membantu membersihkan nama Dato Seri dan keluarga yang tercemar sejak berita wang RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadi Dato Seri," kata Rafizi dalam surat bertarikh 19 Disember lalu.
Sambil menyifatkannya sebagai "surat cinta untuk Najib", beliau berkata, surat berkenaan dihantar ke pejabat Najib di Putrajaya dan juga kepada e-mel dan faksimili Pejabat Perdana Menteri.
Rafizi sendiri mengisytiharkan hartanya bagi tahun 2016 pada 30 November, di bawah Akta SD.

