Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Potongan bajet jejaskan peruntukan untuk sekolah Cina
Diterbitkan:  Dec 20, 2016 8:47 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

Pemotongan bajet untuk kementerian pendidikan menjejaskan peruntukan bagi penyenggaraan dan pembangunan untuk sekolah-sekolah rendah Cina pada tahun ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, lapor akhbar edisi petang China Press hari ini.

Beliau berkata, perkara itu mungkin diselesaikan pada minggu terakhir bulan ini.

"Jika ia tidak diselesaikan (pada masa itu), ambil dulu mana yang ada," beliau dipetik sebagai berkata.

Apabila ditanya akhbar itu sekiranya peruntukan RM50 juta untuk sekolah-sekolah rendah Cina tidak boleh diakses sepenuhnya, menteri itu memberikan janjinya.

Menurut edisi pagi ini, China Press memetik sumber yang mendakwa bahawa sekolah-sekolah rendah Cina tidak dapat mengakses satu sen pun yang telah diperuntukkan.

Di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, RM100 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan atau mengekalkan sekolah Cina pada tahun 2012 dan 2013.

Jumlah ini telah dikurangkan kepada RM50 juta sejak 2014.

Pada masa berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan institusi lain menghadapi masalah yang sama seperti sekolah-sekolah rendah Cina.

Pada awal tahun ini, terdapat laporan bahawa universiti dan hospital diarahkan mengetatkan perbelanjaan berikutan pemotongan bajet.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS