Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan kecewa dengan sistem demerit baru Kastam
Diterbitkan:  Dec 21, 2016 6:17 AM
Dikemaskini: 10:20 PM

Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) dan pemegang kepentingan yang berkaitan melahirkan kekecewaan mereka terhadap sistem demerit baru Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dikhuatiri akan menjejaskan kelangsungan perniagaan dan menyebabkan gangguan pada rantaian bekalan.

Anggota majlis persekutuan itu, Datuk Tony Chia berkata persekutuan itu bersama persatuan negeri anggota tidak menyenangi cara kesalahan distrukturkan di bawah sistem mata demerit yang mana banyak syarikat perkapalan dan penghantar akan mengumpul mata penalti maksimum dengan pantas, dan menjejaskan perniagaan mereka.

Beliau berkata antara 23 kesalahan di bawah sistem demerit termasuk salah ejaan dalam butiran daftar muatan, pembatalan daftar muatan, kelewatan mengisytiharkan barangan import bercukai, penalti kerana pengisytiharan lewat dan memalsukan dokumen.

"Ejen perkapalan dan penghantaran dipenalti hanya kerana tidak membetulkan kesalahan ejaan dalam butiran daftar muatan yang kemudiannya menyebabkan mereka mengumpul mata demerit dengan pantas.

Kebanyakan kesalahan di dalam borang pengisytiharaan kepada kastam tidak dilakukan oleh ejen perkapalan dan penghantaran tetapi oleh pengimport dan pengeksport sendiri, dakwa beliau dalam sidang media di Pelabuhan Klang semalam.

Jabatan Kastam memperkenalkan Sistem Mata Demerit berkuatkuasa 1 April lepas, bagi membolehkannya menilai prestasi ejen dengan lebih berkesan, sambil memastikan kepatuhan mereka terhadap polisi dan peraturan jabatan itu.

Mengulas lanjut, Chia berkata kesalahan seperti penipuan, penyeludupan dan pemalsuan dokumen di bawah sistem demerit sepatutnya dihukum setegas-tegasnya mengikut perundangan sepenuhnya dan tidak patut berada di bawah sistem mata demerit.

Beliau berkata di bawah sistem baru demerit, ejen yang mengumpul 41 mata demerit akan digantung lesen selama enam bulan.

Chia berkata setakat ini lapan ejen perkapalan dan penghantar menerima notis penggantungan semenjak sistem demerit dilaksanakan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS