Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti: PBB perlu henti campur tangan asing di Syria
Diterbitkan:  Dec 21, 2016 11:48 AM
Dikemaskini: 4:08 AM

Majlis Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mendesak kuasa-kuasa asing mengundurkan tenteranya dalam konflik yang berlarutan di Syria, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

"Campur tangan pihak-pihak asing terutama Amerika Syarikat, Rusia, Iran dan Arab Saudi, sama ada secara langsung atau menerusi proksi masing-masing hanya menambahkan kekusutan dan kecelaruan situasi di negara berkenaan.

"Saya berpendapat Majlis Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu segera bersidang untuk mendesak negara kuasa besar mengundurkan tentera masing-masing.

"Cukuplah, hentikan segera campur tangan dalam krisis tersebut," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Selain itu beliau turut menggesa Presiden Bashar Al-Asad mengadakan pungutan suara segera degan pengawasan dan pemantauan suruhanjaya bebas yang dibentuk PBB sendiri.

"Dari situ kesemua pihak yang terlibat mestilah menghormati kehendak rakyat Syria," katanya.

Beliau turut menggesa umat Islam di negara ini agar tidak berdiam diri sekali gus menghulurkan bantuan bagi membantu rakyat Syria yang sedang menderita.

Katanya, masyarakat termasuk bukan muslim serta pihak kerajaan harus menghulurkan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban mereka.

"Bantuan boleh disalurkan menerusi pertubuhan sukarela seperti Aman Palestin, Global Peace, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), ISMA dan sebagainya.

"Sikap mendiamkan diri dalam isu sebegini mungkin disalah anggap oleh sesetengah orang dengan beranggapan kita tidak mempunyai kepekaan terhadap nasib malang yang menimpa saudara seagama," katanya.

Tambah Wan Salim, bagi mengulas isu 'peperangan saudara' di Syria bukanlah sesuatu yang mudah.

"Banyak aspek yang perlu diambil kira untuk memahaminya secara tepat," jelasnya.

Lihat Komen
ADS