'NGO hak asasi cari dana asing kerana kurang sokongan k'jaan'
Pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia hari ini berkata mereka terpaksa mendapatkan dana asing kerana kurangnya sokongan kerajaan terhadap mereka.
"Realitinya kerajaan Malaysia tidak dikenali sebagai penyokong yang konsisten terhadap hak asasi manusia dari segi pembiayaan, dan ini ditunjukkan dalam pemotongan bajet Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), yang memaksa kita mencari dana di tempat lain," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Tenaganita, Persatuan Wanita Perak untuk Wanita (PWW), Persatuan Sahabat Wanita dan Pusat Wanita untuk Perubahan Pulau Pinang (WCC).
Lapan kumpulan itu berkata, dana tempatan dan luar negara yang mereka terima adalah sah di bawah undang-undang Malaysia.
"Terdapat dokumentasi yang jelas mengenai dana berkenaan dan pelbagai peringkat pengawasan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti, termasuk undang-undang di negara pihak penaja asal, penelitian oleh Bank Negara, dan audit untuk organisasi kami," kata mereka.
Mereka menambah usaha untuk menggalakkan hak asasi manusia adalah sah dan perlu memandangkan "sifat kuku besi" dalam sistem politik semasa, rasuah yang bermaharajalela dan ketidaksamaan dalam masyarakat.
NGO berkenaan menjawab kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan kira-kira 15 hingga 20 NGO telah disiasat kerana menerima dana asing.
Ini adalah sebahagian daripada tindakan keras kerajaan ke atas kumpulan yang menerima dana daripada kumpulan-kumpulan seperti Open Society Foundations (OSF) yang didakwa mempunyai matlamat menjatuhkan kerajaan.
Lapan NGO itu dalam satu kenyataan mereka hari ini berkata serangan terhadap OSF mengetepikan kerja baik yang dilakukan organisasi itu.
"Serangan itu mengabaikan kerja baik dilakukan oleh OSF untuk menyokong keselamatan dan penglibatan aktivis yang berisiko di seluruh dunia, termasuk di Palestin," kata mereka.

