Projek tebatan banjir di Sg Udang sudah lama dibatalkan
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang yang diarahkan berpindah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana kampung itu dikatakan terbabit dengan projek tebatan banjir, terperanjat dan marah apabila mendapat tahu projek tersebut sebenarnya sudahpun dibatalkan tiga tahun lalu.
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang yang diarahkan berpindah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana kampung itu dikatakan terbabit dengan projek tebatan banjir, terperanjat dan marah apabila mendapat tahu projek tersebut sebenarnya sudahpun dibatalkan tiga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob berkata, seorang pegawai DBKL memberitahu perkara ini kepadanya sewaktu datang ke kampungnya semalam.
Katanya, pegawai tersebut yang bernama 'Salleh', telah menunjukkan kepadanya surat daripada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) yang memaklumkan projek tebatan banjir telahpun dibatalkan pada tahun 2002.
Bagaimanapun, katanya, pegawai berkenaan berkata, JPS telah meminta DBKL merobohkan dua buah rumah di Kampung Sungai Udang bagi meneruskan projek membina jajaran Sungai Keroh berhampiran kampung tersebut.
Mohamad melahirkan rasa kesalnya dengan apa yang berlaku, kerana para penduduk terbabit telahpun bersusah payah menemui pelbagai pihak untuk meminta bantuan supaya mereka dibenarkan membeli rumah di Taman Cuepacs, bersebelahan kampungnya.
Malah, katanya, penduduk tersebut juga terpaksa menyumbang dana untuk membiayai kos peguam bagi memohon perintah mahkamah untuk menghalang DBKL daripada merobohkan rumah mereka. Mahkamah menolak permohonan tersebut.
Mereka juga, katanya, sebelum ini, telah menemui Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Ahmad Yaakob dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan 1, Reezal Merican Naina Merican, untuk mendapatkan pertolongan.
Dakwa gara-gara wakil rakyat
Selain itu, katanya, penduduk juga telah menghantar memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan dan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad, untuk membolehkan mereka membeli rumah kos rendah di Taman Cuepacs, tetapi ditolak.
"Setelah kami berpenat lelah melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan rumah-rumah kami, barulah kami dimaklum bahawa projek tebatan banjir terbabit telahpun lama dibatalkan oleh JPS...pada tahun 2002...," katanya dengan nada yang amat kesal.
Mohamad berkata, beliau juga mendapat tahu bahawa Ahli Parlimen Segambut, Dr Tan Chee Kwong yang meminta DBKL supaya memindahkan penduduk Kampung Sungai Udang seberapa segera.
"Bagaimanapun, apabila penduduk meminta beliau berterus terang, Dr Tan enggan berbuat demikian dan mendakwa soal pemindahan adalah urusan DBKL," katanya lagi.
Semalam kata Mohamad, hampir 100 kakitangan DBKL datang ke kampungnya untuk membuat bancian dan menawarkan bantuan pengangkutan secara percuma kepada penduduk yang mahu berpindah.
Katanya, pegawai DBKL memberitahu beliau bahawa Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Ahmad Yaakob telah menelefon DBKL supaya menangguhkan operasi merobohkan rumah penduduk kampung tersebut.
"Ahmad juga telah mengarahkan DBKL segera mengkaji kedudukan dan mengadakan perbincangan dengan penduduk untuk membolehkan mendapat tempat tinggal yang lebih selesa dan tidak memindahkan mereka sehingga jalan penyelesaian dibuat.
"Ini bermakna DBKL akan memanggil pemaju Taman Cuepacs sekali lagi bagi membincangkan permintaan penduduk untuk membeli rumah kos rendah di Taman Cuepacs seperti yang dibuat sebelum ini ," kata Mohamad ketika dihubungi hari ini.
DBKL mengarahkan penduduk kampung Sungai Udang supaya berpindah ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang tetapi penduduk menolak kerana mereka mahu membeli rumah kos rendah di Taman Cuepacs yang terletak bersebelahan kampung mereka.
Bagaimanapun, DBKL menolak dan mendakwa projek tersebut dimajukan oleh swasta dan tidak ada peruntukan rumah kos rendah untuk penduduk kampung tersebut dan mengancam akan merobohkan rumah mereka jika terus berdegil.

