Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mahu menyelesaikan kes pemecatan imam Masjid Darul Ehsan, Redzuan Hashim lima tahun lalu secara baik di luar mahkamah.

Permohonan Jais itu dibuat oleh peguamnya, Siti Aishah Kama Badri di depan Presiden Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur, Siralla Pillay pagi tadi.

Peguam Redzuan, Muhamad Burok berkata, beliau menyambut baik permohonan peguam Jais tersebut dan berharap rundingan di antara kedua-dua pihak akan mencapai kejayaan.

"Anak guam saya tidak mempunyai masalah untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah asalkan permintaannya supaya dikembalikan haknya dipenuhi," katanya.

Siralla menetapkan kedua-dua pihak menghantar laporan kepada Mahkamah Perusahaan pada 22 Julai ini dan jika tidak ada penyelesaian, pihaknya akan menetapkan tarikh perbicaraan kes tersebut.

Berikutan itu, Siralla juga meminta kedua-dua pihak menyediakan dokumen masing-masing bagi perbicaraan kes tersebut, sama ada Mahkamah Perusahaan mempunyai bidang kuasa untuk menghakimi kes-kes yang membabitkan kaki tangan masjid ataupun perlukah ia dibicarakan di Mahkamah Syariah melalui pindaan perlembagaan 121 (1A).

Dakwa pemecatan tidak sah

Dalam samannya itu, Redzuan Hashim, 33, mendakwa dia dipecat pada 15 September 2000 kerana didakwa melanggar arahan supaya tidak lagi mengajar agama di masjid itu, membaca khutbah Jumaat dan menjadi imam solat.

Surat pemecatan Redzuan dikeluarkan pada 15 September 2000 yang ditandatangani oleh Nazir (pengerusi) Masjid Darul Ehsan, Omar Mahmud, dengan dua bulan notis. Redzuan dibayar gaji bagi bulan terakhir perkhidmatannya sebanyak RM1,300.

Menurut peguam Muhammad, Omar memberitahu Redzuan yang pemecatannya dibuat atas arahan Pengarah Jais ketika itu, Mansor Ramli kerana Redzuan melanggar arahan Omar selaku Nazir Masjid Darul Ehsan.

Berikutan itu, Redzuan telah memfailkan kes saman tersebut di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur kerana mendakwa pemecatannya sebagai imam Masjid Darul Ehsan adalah tidak sah.

"Kami menamakan Masjid Darul Ehsan dan Jais sebagai defendan kerana tindakannya memecat Redzuan secara tidak sah dan mahu dikembali hak-haknya," kata Muhamad.