Trump perkenal badan dagang baru
Presiden dipilih Amerika Syarikat, Donald Trump, yang telah berikrar untuk membatal atau merundingkan semula pelbagai perjanjian perdagangan antarabangsa, akan menubuhkan majlis perdagangan baru di Rumah Putih, kata pasukan peralihannya semalam.
Majlis Perdagangan Nasional Rumah Putih akan memberi nasihat dan menguruskan dasar keselamatan negara, keselamatan dalam negeri dan ekonomi, dan akan diketuai oleh Peter Navarro, kata pejabat peralihan itu.
Navarro, penulis bersama buku 'Death by China: Confronting the Dragon - A Global Call to Action', adalah seorang profesor ekonomi dan calon Demokratik lalu untuk Kongres dari California.
Beliau adalah seorang penasihat kempen mengenai isu-isu ekonomi untuk Trump, yang merupakan calon presiden Republikan.
Sementara itu, Trump menamakan pelabur Carl Icahn semalam untuk peranan tidak rasmi sebagai 'penasihat khas' pembaharuan kawal selia.
Pasukan peralihan Trump berkata majlis perdagangan itu akan menasihati Trump mengenai strategi rundingan perdagangan, menyelaras dengan agensi-agensi persekutuan dan menerajui programnya "Buy America, Hire America" untuk perbelanjaan kerajaan.
Penubuhan majlis perdagangan itu "menunjukkan keazaman presiden untuk menjadikan bidang pembuatan Amerika tersohor semula dan untuk menyediakan setiap rakyat Amerika peluang pekerjaan yang baik dengan gaji yang baik," kata pasukan peralihan dalam satu kenyataan.
- dpa

