Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil ditahan polis Johor di Shah Alam, Selangor semalam

Menurut ahli jawatankuasa Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khalid Mohd Ismath, Sabrina ditahan di restorannya pada kira-kira jam 7 malam.

Khalid berkata sebab penahanannya adalah tidak jelas, tetapi Sabrina baru-baru ini mengkritik "VVIP" berhubung kemusnahan alam sekitar di Johor.

"Sabrina yang sangat dikenali umum sebagai antara individu yang banyak memperjuangkan nasib orang asal dan juga penjagaan alam sekitar hanya melontarkan sedikit teguran di dalam laman Facebooknya berkenaan penggondolan hutan yang berlaku secara serius di Johor yang dikatakan melibatkan VVIP.

"Adakah teguran ini salah dan berbahaya kepada negara?" kata Khalid dalam satu kenyataan.

Khalid berkata, polis Johor telah menghantar dua kenderaan untuk menahan Sabrina.

Mereka membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk mengambil kenyataannya dan kemudian mengeledah rumahnya, kata Khalid ketika dihubungi Malaysiakini

Katanya, tangkapan itu hanya akan meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu alam sekitar di Johor.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis menahan dua wanita malam tadi kerana dipercayai membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi laman sosial Facebook.

Walaupun tidak menyebut nama, tetapi dipercayai merujuk kepada kes Shariffa Sabrina itu,
Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata wanita berumur 54 dan 51 tahun itu ditahan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor kira-kira jam 8.30 malam di Batu Tiga, Shah Alam, Selangor selepas polis bertindak atas satu laporan.

"Polis Johor menerima satu laporan pada 1.17 tengah hari 20 Disember lepas berkenaan satu kenyataan jelik terhadap Sultan Johor. Kenyataan yang dikeluarkan tersebut boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata hasil daripada penahanan itu, polis merampas dua telefon bimbit dan dua keping simkad yang dipercayai digunakan oleh kedua-dua wanita tersebut untuk membuat kenyataan jelik berkenaan menerusi Facebook.

[Baca berita penuh]