Ahli lantang MBPP Lim Mah Hui letak jawatan
Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang lantang bersuara - Lim Mah Hui - meletakkan jawatan selepas lapan tahun berkhidmat dan terkenal sebagai salah seorang ahli majlis itu yang paling lantang bersuara dalam sejarah negeri itu.
Lim, yang juga seorang ahli aktif Forum Pulau Pinang - gabungan 14 NGO - mengumumkan keputusannya itu sewaktu mesyuarat penuh majlis itu semalam.
Semasa berucap di mesyuarat itu, Lim berkata ia adalah yang terakhir baginya, kerana dia telah menolak untuk dicalonkan oleh masyarakat sivil kepada pihak berkuasa negeri untuk dilantik semula ke majlis itu.
Katanya, ada turun naik dalam tempoh dia menjadi ahli majlis serta saat-saat konflik, tetapi banyak juga detik-detik kerjasama.
Lim turut memohon maaf sekiranya ada tindakannya yang tidak disenangi ketika menjalankan tugas-tugasnya.
Katanya, semua yang dilakukannya adalah dengan niat yang baik dan untuk kebaikan bandar raya tersebut.
Walaupun Lim telah dibidas kerana pandangannya yang tidak sehaluan dengan beberapa dasar di negeri itu, namun, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana memberinya peluang untuk berkhidmat kepada rakyat Pulau Pinang.
Ketua Menteri Lim Guan Eng pada masa lalu menyifatkan Lim sebagai "seorang pembohong" lapan kali berikutan kritikannya terhadap penambakan laut, dan ancaman kepada status warisan George Town dan alam sekitar pulau itu ekoran Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang negeri (PTMP).
Mah Hui terlibat dalam beberapa perang mulut dengan rakan-rakan ahli majlis, dan juga dengan pengurus besar agensi kerajaan negeri George Town World Heritage Incorporated, Ang Ming Chee, yang pernah menyifatkannya sebagai "menikam dari belakang" kerana menulis surat kepada Pusat Warisan Dunia Unesco tentang akibat daripada PTMP.
Walaupun hubungan yang tegang dengan kerajaan negeri, Mah Hui memuji majlis itu di atas "kemajuan penting yang dicapai" seperti sistem perkongsian basikal di George Town.

