‘Mahathir hanya perkuda mahasiswa bagi jatuhkan Najib’
Beberapa mahasiswa mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang mempergunakan gerakan mahasiswa dan juga aktivis siswa seperti Anis Syafiqah Md Yusof dalam usaha menjatuhkan musuhnya.
Ini berikutan jawapan yang diberikan oleh Mahathir dalam forum Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 di pejabat Malaysiakini, malam semalam yang tidak secara langsung menjawab soalan sama ada beliau menolak akta itu.
Sebaliknya, beliau menyeru supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijatuhkan.
Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Mukmin Nantang berkata beliau melihat Mahathir dalam seolah-olah berada di pihak mahasiswa namun sebenarnya mempunyai niat lain iaitu mempergunakan mereka dan Anis dalam menjatuhkan Najib.
“Saya dan rakan-rakan tak puas hati dengan idea dan isi yang disampaikan oleh Tun Mahathir malam ini dan bukan sahaja waktu forum tapi soal jawab.
“Mahathir gagal nyatakan pendiriannya tentang masalah mahasiswa dan rakyat Malaysia hari ini.
“Sekarang ini kita nampak senario Mahathir ingin gunakan aktivis mahasiswa, dia cuba kelirukan mahasiswa seolah-olah nak sokong mahasiswa.
“Sekarang nampak nak jatuhkan Najib dan tak nyatakan pendirian yang menolak kekotoran yang dia buat di negara ini. Dia gunakan Anis dan aktivis mahasiswa yang lain,” katanya kepada Malaysiakini selepas forum itu.
Mahasiswa seni kreatif semester lima itu berkata, beliau dan rakan-rakan aktivisnya di UMS akan mengeluarkan kenyataan media menolak Mahathir dan gerakan yang sedang dilakukan oleh perdana menteri keempat itu.
“Kami beranggapan bila kekuasaan berlangsung, kroni dan keluarga dia dapat kuasa dan rakyat akan rasa penindasan,” katanya.
Bagi mahasiswa Universiti Malaya (UM) Daniel Mizan Qayyum pula berkata tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Mahathir mengenai Auku kerana hanya merujuk kepada ‘mahasiswa dan demonstrasi.
“Tak puas hati bila di peringkat aktivis kita bersatu bukan sebab kita ada musuh yang sama. Bila kita bercakap pasal Auku bukan hanya demonstrasi, tapi lebih dari itu.. Hujah (Tun Mahathir) dalam Auku diperkenal nak bagi mahasiswa fokus pada pelajaran.
“Kalau cakap mahasiswa kena fokus pelajaran jadi apa yang Anis cakap bertentangan dengan hujah Tun sendiri, kita tengok kejujuran Tun Mahathir dalam sokong anis ada macam boleh buat hipotesis.
“Auku hasil dari apa yang Tun Mahathir buat dulu. Kita tak tahu setebal mana muka Tun Mahathir sekarang. Sekarang dia nak jilat apa najis yang dia dah buat,” kesalnya.
Sementara itu mahasiswa UM Suhail Wan Azahar pula menyifatkan Mahathir kini tidak jujur dengan pendiriannya sendiri berkenaan Auku.
Ia kerana Auku diperkenalkan ketika Mahathir adalah menteri pelajaran.
“Di waktu ini dia kena setuju Auku itu membunuh aktivisme mahasiswa. Auku yang membunuh bakat dan kreativiti mahasiswa.
“Saya rasa tak patut bincang pasal Auku iaitu mahasiswa turun demonstrasi boleh atau tidak. Itu patut jadi naratif cerita tak menuju Auku dan mahasiswa. Tapi kenyataan Tun seolah-olah mahasiswa tak patut berdemo tapi turun belajar,” katanya.
Bagi mahasiswa dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Rahman Imuda pula berkata pandangan yang diberikan oleh Tun Mahathir kedengaran lawak kerana kebanyakan soalan yang diajukan tidak dijawab dengan cermat.
“Saya berpandangan malam ini agak lawak. Banyak soalan yang diberikan kepada Tun Mahathir tidak dijawab dengan cermat.
“Beliau lebih banyak mengambil jalan selamat dan beliau banyak spin cerita,” katanya yang enggan menamakan nama pusat pengajiannya.
Dalam forum lebih dua jam malam semalam, Mahathir berkata ketika di era pentadbirannya, beliau tidak bersetuju sekiranya mahasiswa turun berdemonstrasi, sebaliknya, perlu fokus kepada pelajaran.
Ia kerana, katanya, pembelajaran mahasiswa dibiayai oleh rakyat serta pada ketika itu pihak berkuasa masih berfungsi dengan baik.
Namun katanya, kerajaan hari ini dilihat tidak berfungsi dengan baik menyebabkan turun berdemonstrasi adalah jalan terbaik bagi menyatakan bantahan kepada pemerintah.

