Pesara wanita M'sia koma di Turki meninggal dunia
Sharipah Saadah Mohamed, pesara kerajaan yang koma susulan serangan darah tinggi semasa melancong di Turki, meninggal dunia hari ini.
Perkara itu disahkan adik perempuannya, Jawahiril Kamariah Mohamed, 55, ketika dihubungi Bernama.
Beliau memaklumkan Sharipah Saadah, 57, meninggal dunia pada jam 3.30 pagi waktu Turki di hospital Bursa, Turki (8.30 pagi waktu Malaysia).
"Pihak keluarga memutuskan jenazah dikebumikan di Turki. Jenazah masih berada di hospital," katanya.
Beliau berkata tiga anak Sharipah Saadah tiba di Turki semalam.
Ibu kepada lima anak itu dimasukkan ke hospital kerana serangan darah tinggi yang menjurus kepada pendarahan otak pada 16 Disember lalu.
Allahyarham ketika itu sedang melancong ke negara berkenaan bersama suami, Haron Mohd Salleh.
- Bernama

