Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga saham FGV susut 4.94% selepas KWSP lupus pegangan
Diterbitkan:  Dec 23, 2016 3:38 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) jatuh 4.94 peratus ketika rehat tengah hari, hari ini berikutan pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ia tidak lagi mempunyai sebarang pegangan dalam syarikat tersebut.

Pada jam 12.30 tengah hari, saham FGV susut lapan sen kepada RM1.54 dengan 6.98 juta saham bertukar tangan. Saham berkenaan bergerak di antara RM1.54 dan RM1.60 sepanjang sesi pagi.

Dalam satu kenyataan hari ini, FGV berkata, ia menghormati pandangan pemegang sahamnya dan menyedari mengenai hak mereka untuk membeli dan menjual saham mengikut keutamaan pelaburan mereka.

"FGV akan meneruskan fokus ke atas perniagaan teras kami, meningkatkan produktiviti aset sedia ada dan melupuskan aset bukan teras bagi menghasilkan pulangan kepada pemegang saham dan memenuhi tanggungjawab kami kepada pemegang saham," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad.

Pada hari Khamis, KWSP berkata, ia tidak lagi memiliki sebarang kepentingan dalam FGV dan memberi jaminan kepada ahli-ahlinya yang ia mengamalkan standard tadbir urus korporat yang tinggi dalam pelaburannya, dengan dasar yang mantap mengenai kawalan risiko serta peruntukan aset.

Sementara itu, pelabur berkata, di sebalik keadaan itu, operasi perniagaan FGV dijangka stabil dengan disokong harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi yang kini melepasi paras RM3,000 satu tan metrik.

"Sentimen negatif mungkin untuk sementara dan saya percaya harga saham syarikat tersebut akan stabil," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS