Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIER harap Felda beli kepentingan Eagle High pada harga tepat

Penerokaan kawasan sawit Indonesia oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerusi pembelian 37 peratus pegangan ekuiti dalam syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) bernilai US$505.4 juta (RM2.26 bilion), mampu menyuntik kesan positif kepada industri serta negara.

Bagaimanapun, ia seharusnya membabitkan transaksi harga yang tepat, kata Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid.

"Usaha pembelian bagi tujuan mengembangkan sayap perniagaan adalah baik, namun mestilah (dilakukan) pada harga yang betul.

"Bagi pembelian saham sesebuah syarikat itu, harganya bergantung kepada permintaan dan penawaran dalam pasaran yang ditentukan pula oleh asas-asas syarikat tersebut," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Zakariah mengingatkan, tindakan korporat Felda menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd (FICP) membeli ekuiti dalam EHP yang disenaraikan di bursa saham Jakarta, juga boleh mencetuskan kebimbangan warga korporat jika tidak membabitkan harga yang betul.

Ini berikutan laporan sebelum ini mengenai pembelian entiti luar negara oleh Felda pada harga tinggi yang dipersoalkan warga korporat, katanya.

Jelasnya, antara aspek penentuan asas-asas untuk harga melibatkan beberapa analisis seperti laporan kewangan, untung dan rugi serta kunci kira-kira.

Malah, maklumat lanjut perladangan seperti kematangan pokok sawit yang ditanam turut membantu analisis bagi menentukan tiada masalah dalam potensi pengeluaran tandan buah segar serta kadar perahan minyak sawit mentah.

Maklumat sedemikian amat penting kepada mereka yang pakar dalam bidang perladangan bagi membuat ulasan lanjut, katanya.

Felda menerusi satu kenyataan semalam, mengesahkan FICP telah menandatangani Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dengan Rajawali Group untuk kepentingan EHP yang memberi akses kepada tanah perladangan seluas lebih 320,000 hektar di Indonesia.

Butiran lanjut pembelian itu tidak diumumkan Felda berikutan SPA terbabit masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia dan Indonesia.

Pada tahun lepas, Felda Global Ventures Holdings Bhd memeterai perjanjian dasar induk membabitkan cadangan pembelian 37 peratus kepentingan dalam PT Eagle pada harga AS$680 juta (RM2.8 bilion) dalam bentuk tunai dan saham namun \perjanjian tersebut dibatalkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS