Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Shahruddin Md Salleh berkata, isu ketua Srikandi parti itu tidak seharusnya wujud kerana majlis pimpinan tertingginya belumpun menubuhkan sayap berkenaan.

Justeru, kata beliau, kedudukan Anina Saadudin yang sering dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai ketua srikandi BERSATU tidak timbul sama sekali.

"Berhubung isu kedudukan ketua srikandi BERSATU, ingin saya menjelaskan bahawa majlis pimpinan tertinggi masih belum menubuhkan sayap Srikandi.

"Menurut Perkara 21 Perlembagaan BERSATU, penubuhan sayap-sayap parti di semua peringkat adalah di bawah bidang kuasa MPT.

"Justeru, kedudukan Anina yang dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai Ketua Srikandi PPBM tidak seharusnya timbul," ujar beliau dalam kenyataannya.

Semalam, Anina yang merupakan antara pengasas BERSATU berkata, beliau telah dilucutkan jawatan sebagai ketua Srikandi parti itu.

Ujar Anina, beliau dimaklumkan mengenai langkah itu beberapa hari lalu oleh Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agungnya, Datuk Shahruddin Md Salleh.

"Depa (mereka) kata saya tidak disyorkan oleh majlis presiden untuk dilantik sebagai ketua Srikandi," katanya kepada Malaysiakini.

Pelantikan Anina dan pemimpin BERSATU yang lain dilaporkan pada 2 November.

Apabila disoal mengenai perkara itu, Anina berkata beliau dimaklumkan hanya dilantik sebagai penaja untuk sayap Srikandi, manakala jawatan pemimpin lain telah disahkan.

Kekeliruan mengenai jawatan Anina sebagai ketua Srikandi berlaku seminggu selepas beberapa blog mendakwa beliau terbabit dalam skandal seks.

Beliau dilaporkan menolak dakwaan itu sebagai perkara biasa dalam politik.

Ditanya perasaannya apabila dilucutkan jawatan, bekas anggota Wanita Umno Langkawi itu menjawab:

"Tanya perasaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz apabila dilucutkan jawatan oleh Umno. Saya nak tahu jawapan mereka. Lepas tu saya jawab apa perasaan saya.

"Dulu ketika saya bela mereka, saya lupa nak bertanya perasaan mereka. Saya hanya bangun dan bela mereka tanpa berfikir panjang," tambah Anina.

Mengulas lanjut, Shahruddin berkata, Anina kekal sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi parti itu yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras kegiatan Srikandi sehingga sayap parti ditubuhkan secara rasmi.

"Majlis pimpinan tertinggi akan menubuhkan sayap Srikandi dalam masa terdekat setelah segala proses dan prosedur dalaman parti dipatuhi.

"Srikandi adalah sayap parti yang penting dan oleh yang demikian, pemilihan ketua Srikandi hendaklah dibuat secara teliti setelah pandangan semua pihak diperolehi.

"Adalah diharapkan ahli-ahli BERSATU terutamanya Srikandi dapat bertenang, merapatkan barisan dan meneruskan usaha untuk mengukuhkan parti demi perjuangan menyelamatkan Malaysia," tambah beliau.