Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub berkata, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin harus tampil dengan segera bagi memberikan penjelasan kepada pendedahan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) mengenai kemusnahan alam sekitar.

"Perjuangan mana-mana pihak demi keadilan untuk rakyat dalam apa jua isu sama ada isu tanah, alam sekitar dan sebagainya juga adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan.

"Oleh kerana negara mendukung prinsip 'no one is above the law', maka saya juga akan berjuang mempertahankan prinsip ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan pembebasan Presiden PEKA Shariffa Sabrina Syed Akil dan pegawainya Norhayati Shahrom daripada tahanan polis atas dakwaan menghina keluarga diraja Johor menerusi laman Facebooknya.

PEKA merupakan organisasi pencinta alam sekitar yang sering bersuara terhadap aktiviti pembalakan.

Menurut polis, mereka disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) berkaitan "penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian".

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, justeru, isu penahanan Sharifa Sabrina yang dikatakan menghina Sultan Johor dengan mendedahkan aktiviti pembalakan di tanah yang dipercayai milik sultan berkenaan harus diselesaikan melalui semangat perlembagaan dan undang-undang.

Tambah beliau, Raja berperlembagaan tidak akan melanggari keluluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang menjamin kesaksamaan setiap rakyat di negara ini.

"Raja Perperlembagaan akan menaungi seluruh rakyat, mempertahankan rakyat dan seluruh negara.

"Kedudukan Raja-Raja Melayu adalah perkara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Mempertahankan Perlembagaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab Raja-Raja dan seluruh rakyat negara ini.

"Saya seperti rakyat Malaysia yang lain akan terus mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu melalui konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang serta akan memastikan ia terus terpelihara dengan kukuh dalam pelaksanaannya.