Gereja juga berbicara tentang 1MDB, kata DAP
Pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang mengingatkan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa ketua gereja di negara ini turut menyentuh mengenai skandal 1MDB dan isu-isu semasa lain dalam mesej hari Krismas.
Begitu juga, katanya, pemimpin gereja di United Kingdom dan Vatican juga menyampaikan mesej mengenai ketidakpastian, kebimbangan mereka pada peringkat global menjelang akhir tahun.
"Liow perlu berhenti menjadi katak di bawah tempurung, tetapi melihat apa yang berlaku di dunia," kata Lim dalam satu kenyataan.
Antara lain, Lim memetik mesej Krismas yang disampaikan oleh Presiden Majlis Gereja Sabah Rev Jerry Dusing dan Presiden Persidangan Biskop Katholik dan Ketua Biskop Kuala Lumpur Julian Leow Beng Kim.
"Beri perhatian kepada Majlis Gereja Sabah yang berdoa pada Krismas ini agar kebenaran ditegakkan di Malaysia, terutamanya di kalangan mereka yang berkuasa.
"Presiden Majlis Rev Jerry Dusing berkata kebenaran perlu ditegakkan tentang isu-isu mengenai 1MDB dan rang undang-undang hudud," kata Lim.
"Apakah kebenaran 1MDB? Sebagai rakyat Malaysia yang dibiarkan dalam kegelapan, kita dengan kecewa mengharapkan negara asing untuk mendedahkan kebenaran berhubung misteri ini," kata Lim yang memetik persoalan Dusing itu.

