Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bahasa Melayu semakin lenyap di bumi Afrika
Diterbitkan:  Dec 28, 2016 9:34 AM
Dikemaskini: 1:41 AM

Faktor peredaran masa, globalisasi dan persekitaran setempat membuatkan bahasa Melayu semakin lenyap di bibir masyarakat Melayu terutama generasi muda di Afrika Selatan.

Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata situasi itu amat membimbangkan kerana faktor tersebut membuatkan masyarakat Melayu di negara itu mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan tempatan.

Katanya lebih membimbangkan, daripada sekitar 2,000 orang Melayu pernah ditemuinya di ibu kota negara itu iaitu Cape Town, hanya dua orang, kedua-duanya berusia lebih 80 tahun, fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

"Dua orang ini generasi kedua Melayu di negara tersebut, generasi ketiga dan seterusnya yang saya jumpa sudah tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan fasih hanya boleh guna perkataan mudah seperti 'selamat pagi' dan 'apa khabar'.

"Di mana letaknya bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda Melayu di negara itu, ini amat membimbangkan saya dan DMDI kerana bahasa Melayu tiada pewarisnya di sana," katanya kepada Bernama.

Orang Melayu dipercayai mula datang ke Afrika Selatan sekitar tahun 1600 dan dianggarkan 200,000 orang Melayu tinggal di Afrika Selatan yang mana kebanyakan mereka menetap di Cape Town dan Johannesburg.

Mohd Ali berkata dalam usaha memastikan bahasa Melayu tidak lenyap, DMDI pernah menghantar guru untuk mengajar bahasa Melayu di Cape Town dalam usaha menarik lebih ramai masyarakat di sana menguasai bahasa tersebut.

"Selama enam bulan kita menghantar guru di sana namun tidak dapat menarik minat mereka berbahasa Melayu kerana mereka sudah biasa bercakap dalam bahasa Inggeris dan tempatan," katanya.

Beliau berkata lebih menyedihkan, ciri-ciri Melayu di sebuah kawasan diberi nama Kampung Melayu di Cape Town sudah nampak pudar, tenggelam dengan pengaruh barat dan masyarakat tempatan.

"Ada orang Melayu yang meluahkan kekecewaannya kerana ini terjadi, mengapa tidak kampung ini dikekalkan dengan ciri uniknya seperti Chinatown di seluruh dunia kekal dengan ciri unik masyarakat Cina, mengapa tidak Melayu," katanya.

Selain itu, terdapat nama tempat yang asalnya daripada bahasa Melayu telah ditukar ke dalam bahasa Inggeris dan tempatan, antaranya Bukit Semboyan di Cape Town kepada Signal Hill.

Mohd Ali berkata selain Afrika Selatan, DMDI juga aktif mempertahankan bahasa dan budaya Melayu di negara lain antaranya di Australia, yang mana Yayasan DMDI turut menaja rancangan radio berbahasa Melayu di Perth.

"Usaha kita menyambungkan warisan Melayu terutama bahasanya tidak terhenti di Asia sahaja. Kalau tiada lagi minat berbahasa Melayu, makin lama makin kurang menguasainya dan akhirnya bahasa serta budaya itu akan terkubur," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS