Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS hari ini mendakwa parti serpihannya, Parti Amanah Negara (AMANAH) mula menunjukkan belang sebenar mereka apabila mahu mencuri kerusi rakan-rakannya walaupun masih bersama Pakatan Harapan.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad berkata tindakan AMANAH itu membuktikan apa yang diperkatakan oleh parti itu adalah benar.

"Bermakna dengan sendirinya AMANAH sudah tunjukkan sikap sedangkan mereka bersama PKR dalam Pakatan Harapan.

“Tetapi sekarang mereka hendak curi kerusi PKR, bermakna segala apa yang kami katakan sebelum ini tentang AMANAH adalah benar.

"Kenyataan beliau (Ketua Penerangan AMANAH Khalid Samad) membenarkan perkara-perkara yang kami nyatakan tentang AMANAH.

“Sebab itu kami panggil PAN, bukan AMANAH Kalau duduk dalam Pakatan Harapan pun hendak curi kerusi, saya tak mahu komen,” katanya dalam sidang media PAS Pilihanku di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Semalam Khalid berkata parti itu mahu bertanding di kira-kira 40 kerusi Parlimen, termasuk yang dimiliki oleh PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Khalid berkata pemilikan kerusi tradisi yang dipertahan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.

Justeru, AMANAH, katanya nekad untuk mengemukakan senarai 40 kerusi yang mahu ditandinginya pada mesyuarat HARAPAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang di jadual pada Januari nanti berhubung isu pengagihan kerusi.

Pada sidang akhbar hari ini, Iskandar turut mengumumkan parti itu akan melancarkan kempen “PAS Pilihanku” bagi menggalakkan penambahan ahli menjelang PRU-14.

Katanya, PAS mensasarkan seramai 131,226 ahli baru dalam masa empat bulan dengan perkiraan 15 peratus penambahan di setiap kawasan dan cawangan.

Iskandar bagaimanapun menolak dakwaan bahawa kempen tersebut diadakan kerana wujudnya ancaman dari parti lain terhadap PAS.

Sebaliknya kata Iskandar, sejak PAS melancarkan budaya politik lebih matang, parti itu menerima penyertaan yang tinggi daripada banyak pihak untuk menyertai mereka.

“PAS melihat terdapat minat yang tinggi terhadap PAS supaya jentera parti dapat mendaftarkan mereka ia setelah kita lancarkan budaya politik baru, matang dan sejahtera.

“Budaya ini berdasarkan memberi solusi bukan konfik dan cetus persepsi, kita bukan sahaja membangkang tapi beri penyelesaian.

“Kita dapat maklum balas termasuk ahli Umno yang datang pada kita. Kita lihat perlu cari mereka ini… kita rasa perlu turun akar umbi sebab ada permintaan,” katanya.

Menurut Iskandar tiga negeri yang menjadi sasaran PAS bagi menarik ahli baru adalah di Kedah (25,808), Kelantan (18,255) dan Selangor (15,759).

 

Lihat Komen
ADS