Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat semula dakwaan skandal 1MDB.

Desakan itu dibuat melalui penyerahan memorandum oleh Timbalan Presiden Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung Anuar Tahir di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Salahuddin mendakwa ada banyak bukti baru berhubung kes itu, walaupun peguam negara Januari lalu memutuskan Datuk Seri Najib Razak tidak membuat sebarang kesalahan berhubung kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Tan Sri Apandi Alo ketika itu berkata wang tersebut adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi, walaupun beberapa pihak mendakwa ia daripada 1MDB.

Salahuddin membangkitkan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan perkembangan kes berkaitan di Singapura bulan lalu.

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Singapura yang menjatuhi hukuman penjara 18 tahun kepada bekas pegawai Bank BSI atas kesalahan gagal melaporkan urus niaga mencurigakan yang dikaitkan dengan Jho Low.

Menurut laporan International Business Times 19 Ogos pula, pihak berkuasa Abu Dhabi menahan hartawan Khadem Al Qubaisi kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan berkaitan 1MDB.

"Dengan bukti baru ini, wajar untuk siasatan diteruskan.

“SPRM perlu mendapatkan dokumen dan keterangan dari semua saksi penting termasuk perdana menteri," kata Salahuddin pada sidang media selepas penyerahan memorandum.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata pihaknya sedar dengan kekangan kuasa yang dihadapi SPRM yang tidak memiliki kuasa mendakwa.

"Maka AMANAH akan membawa isu kuasa pendakwaan ini ke mesyuarat Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agar ia dimasukkan ke dalam manifesto.

"Ini agar SPRM kembali menjadi badan berintegriti dan memiliki kuasa yang diperlukan untuk menjalankan tugas.

“ (Tanpa kuasa) Peguam Negara boleh bertindak mengikut kemahuan dan eksekutif juga boleh masuk campur," katanya yang pernah menganggotai panel SPRM pada 2009-2013.