Posting Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang menyokong pengasingan jantina dalam bas mencetuskan perdebatan di laman Facebook beliau.

Tidak kurang yang membidas pemimpin DAP itu, termasuk ada yang mahu Kok "merawat kepalanya”.

"Pengasingan dalam bas? Mengapa tidak di kereta api, kapal terbang, bilik darjah dan di mana-mana sahaja?

“Isu menghormati wanita tidak akan diselesaikan dengan mewujudkan persekitaran yang berasingan. Kamu sepatutnya tahu,” tulis seorang pembaca.

Kok, ketika dihubungi berkata, pendiriannya adalah berdasarkan prinsip bagi memastikan perjalanan seseorang wanita itu adalah selesa dan bukannya bertujuan menjaga moral atau ‘moral policising’.

Malah, katanya KTM juga telah melaksanakan koc untuk wanita sahaja.

"Saya harap orang ramai melihat dengan jelas konteks yang dibangkitkan," katanya.

Tulisan di Facebook Kok sebagai mengulas laporan sebuah portal berita yang mendedahkan bahawa pengendali bas jarak jauh TransMalaya Ekpres mengasingkan penumpang dalam bas milik syarikat itu mengikut jantina.

Pengendali bas berkenaan berkata, wanita dibenarkan untuk memilih jika mereka mahu duduk di bahagian wanita atau di bahagian lelaki, manakala pasangan yang beragama Islam akan diminta untuk mengemukakan sijil nikah.

Kok berkata, walaupun beliau tidak bersetuju dengan perkara khusus, seperti mengemukakan sijil nikah, namun kebimbangan wanita perlu diberi perhatian.

Menurutnya, sebagai seorang wanita yang mempunyai banyak pengalaman mengunakan bas jarak jauh ketika dirinya seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama di Seremban dan di USM di Pulau Pinang, bas ekpres lazimnya, berlepas pada tengah malam.

"Ada kalanya saya terpaksa duduk bersebelahan lelaki berbadan besar. Saya dapati tidak selesa apabila bahunya bergesel dengan saya.

"Ada juga ketika saya terlelap dalam bas dan semasa bangun, saya dapati kepala tersandar di bahu mereka yang saya tidak kenali.

"Jadi jika kamu pernah menaiki bas jarak jauh, kamu akan tahu apa yang saya maksudkan," katanya.

Bahagian bas yang berasingan, kata Kok, akan membuatkan penumpang wanita berasa selesa.

"Tetapi, sebagai contoh, jika (Ketua Parlimen DAP) Lim Kit Siang dan saya mahu duduk bersama-sama untuk membincangkan sesuatu, kami harus dibenarkan untuk berbuat demikian," katanya.

[Baca berita penuh]