Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerugian Felda: ANAK mahu SPRM siasat Najib, 4 lain

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan Laporan Ketua Audit Negara yang mendapati kepincangan dalam agensi persekutuan itu dan subsidiarinya.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata ini kerana laporan audit yang dikemukakan baru-baru ini telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan mengenai perjalanan urus tadbir syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

"Persepsi umum mendakwa ia adalah kepincangan, salah urus dan penyelewengan yang dilakukan oleh pengurusan Felda.

"Meskipun pihak Felda telah menjawab penemuan audit dari Laporan Ketua Audit Negara, ia masih menimbulkan kesangsian dan tanya tanya. Apatah lagi membabitkan sejumlah wang yang sangat besar," kata Mazlan kepada pemerita di perkarangan ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

Mazlan berkata demikian menerusi aduan yang dilaporkan kepada SPRM.

Laporan Ketua Audit Negara bagi siri 2 tahun 2015 menyatakan audit yang dijalankan antara Januari dan Jun tahun ini, mendapati perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pengurusan projek oleh Felda dan subsidiarinya tidak memuaskan serta tidak mencapai objektif yang ditetapkan.

Antaranya, termasuk 65 kontrak bagi pemerolehan perkhidmatan LiDAR atau Light Detection and Ranging bernilai RM148.42 juta dan projek jalur lebar melibatkan kos RM566 juta.

Laporan itu turut membidas Felda kerana tidak membuat kajian kemungkinan dan daya maju sebelum projek ternakan ikan Sturgeon, restoran Savaro dan projek pastri Schneeballen diteruskan sehingga menyebabkan agensi itu mengalami kerugian RM73.63 juta.

Peneraju utama

Terdahulu Mazlan bersama-sama Pengerusi Hisbah Center, Datuk Ezam Md Noor menyerahkan satu memorandum kepada wakil SPRM Norliza Adnan berhubung Laporan Ketua Audit Negara itu.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, SPRM perlu mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya mempunyai bukti pembabitan mana-mana individu termasuk di dalam pengurusan Felda yang didapati terlibat seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Dalam aduannya kepada SPRM, Mazlan menamakan lima orang iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada dan bekas Pengarah Felda Datuk Faizoull Ahmad.

Mazlan berkata, beliau menamakan lima individu terbabit kerana mereka merupakan peneraju utama berkaitan Felda ketika Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan.

Ezam turut mendesak SPRM mengeluarkan laporan segera berhubung aduan mereka itu.

Katanya, laporan segera itu penting kerana ia melibatkan kepentingan awam dan wang rakyat apatah lagi dengan pelbagai isu yang membelit Felda hari ini.

"Kita mengharapkan respon segera SPRM kerana laporan segera ini menjadi lebih penting sekarang dengan berbagai isu yang melanda Felda yang mana saham FGV yang semakin merudum, penjualan saham oleh KWSP dengan menjual pegangan mereka baru-baru ini dan pengambilalihan sebuah syarikat di Indonesia.

"Semua ini memberi gambaran burukdan persepsi tidak baik kepada Felda dan membimbangkan pengusaha Felda khususnya mereka yang mempunyai kepentingan langsung kepada Felda," kata Ezam.

Beliau juga menggesa SPRM dan PDRM bersikap lebih proaktif dalam isu yang melibatkan kepentingan dan wang rakyat ini apatah lagi laporan audit tersebut dibuat secara umum.

"Agensi seperti SPRM dan PDRM juga perlu bersikap proaktif kerana siasatan ini seharusnya sudah sampai kepada mereka kerana laporan audit ini umum dan membabitkan wang rakyat, membabitkan Felda dan bukan satu, dua kes tapi banyak kes, bukan satu, dua juta tapi puluhan juta," katanya.

Lihat Komen
ADS