Pada 28 Oktober 2016 yang lalu, mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape dikawal selia
oleh tiga kementerian, iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
KKM akan mengawal selia penjualan cecair yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952. Oleh itu penjualan sediaan yang mengandungi nikotin hanya dibenarkan oleh farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan perubatan.
KKM juga akan mengawal selia penjualan, promosi, penajaan dan pelabelan yang berkaitan dengan kesihatan bagi cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape.
Manakala larangan merokok, termasuk larangan penggunaannya bagi orang di bawah umur.
MOSTI melalui Jabatan Standard Malaysia akan membangunkan standard bagi bateri, peranti dan pembungkusan cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape di bawah Akta Standard Malaysia 1996.
KPDNKK pula akan mengawal selia dan menguatkuasa Peraturan Standard Keselamatan bagi bateri dan peranti rokok elektronik dan vape di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599]. KPDNKK juga akan mengawal selia dan menguatkuasa penandaan maklumat berkaitan pada label peranti dan cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape melalui akta-akta sedia ada seperti Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730], Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599], Akta Kawalan Harga
dan AntiPencatutan 2011 [Akta 723] dan Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71].
Aktiviti perlesenan, pengeluaran, pengedaran termasuk import, eksport dan peruncitan peranti serta cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape di bawah akta baru turut akan dikawal selia oleh KPDNKK.
Lanjutan daripada keputusan ini, KKM akan menggubal undang-undang baru bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 manakala KPDNKK pula menggubal undang-undang baru berhubung kawalan rokok elektronik dan vape yang tidak mengandungi nikotin dalam tempoh dua tahun. Sepanjang tempoh tersebut (tempoh peralihan), penjualan rokok elektronik dan vape adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan sedia ada yang dikawal selia oleh
kementerian serta agensi berkaitan.
KKM juga akan menjalankan kajian lanjut terhadap kesan penggunaan rokok elektronik dan vape terhadap kesihatan manakala KPDNKK akan menjalankan kajian mengenai kaedah pengawalselian rokok elektronik dan vape ke arah model terbaik di dunia.
Dalam hal ini, KPDNKK mahu semua pengusaha vape supaya mematuhi undang-undang yang sedia ada dan juga mendapatkan kelulusan ujian verifikasi daripada SIRIM serta memberi jaminan ke atas barangan berkenaan selamat untuk digunakan sebelum diedar atau dijual kepada pengguna.
Sumber : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT,SILA HUBUNGI :
Nama : Che Sukri Che Mat
Pengarah Standard Kepenggunaan KPDNKK
Tel : 019-6663234
-Bernama
