Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, beliau sedikit pun tidak terkejut dan hairan dengan perkembangan serta kemelut yang berlaku di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini.

Ini kerana, ujar beliau, masing-masing yang menyertai parti berkenaan dilihat mempunyai agenda tersendiri.

Katanya, disebabkan itulah parti baru berkenaan yang baru berusia lebih kurang tiga bulan telah kucar-kacir dan terpalit dengan pelbagai masalah termasuklah isu jawatan ketua sayap Srikandi mereka.

"Akibat sudah biasa suka menentang dan melawan maka budaya itu dibawa ke dalam parti baru mereka yang akhirnya rakyat dapat melihat kepincangan dalam parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

“Mereka sebenarnya belum ada rasa saling mempercayai antara satu sama lain, kerana apa… kerana mereka sudah biasa tikam belakang rakan sendiri untuk naik.

“Jadi, bagaimana parti seperti ini mahu kukuh. Mereka tidak akan mampu meniru roh perjuangan dan kepercayaan yang ada dalam Umno,” ujarnya, memetik laporan Umno Online.

Pada 25 Disember lalu, salah seorang pengasas BERSATU, Anina Saadudin, berkata beliau dilucutkan jawatan sebagai ketua Srikandi parti itu.

Kekeliruan mengenai jawatan Anina sebagai ketua Srikandi berlaku seminggu selepas beberapa blog mendakwa beliau terbabit dalam skandal seks.

Anina dilaporkan menolak dakwaan itu sebagai perkara biasa dalam politik.

Susulan itu, bekas ahli BERSATU, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mahu presiden parti serpihan Umno itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin 'membersihkan' namanya kerana turut terpalit dengan dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan wanita berkahwin.

Mengulas lanjut, Anuar yang juga exco Pemuda Umno berkata, jika sebelum ini rakyat dimomokkan kononnya perjuangan mereka untuk menjadi pemimpin yang telus tetapi kini telah terbukti bahawa bangkai gajah tidak mampu disorok selamanya.

"Sedikit demi sedikit skandal dan masalah dalaman mereka terbongkar malah mereka tidak boleh lagi mendabik dada mengatakan mereka lebih baik daripada Umno.

“Kerana itulah saya katakan, walaupun ramai yang cuba memburukkan nama Umno tetapi hakikatnya tidak ada satu partipun yang boleh menyaingi parti keramat ini," tambah beliau.