Seorang bekas timbalan menteri MCA hari ini mengingatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya tidak menghukum kedai atau restoran makanan yang disahkan halal dengan melarang pelanggan membawa makanan tanpa logo halal ke premisnya.
Gan Ping Sieu, yang adalah presiden bersama Center for a Better Tomorrow (Cenbet) dalam satu kenyataan berkata pensijilan halal Jakim seharusnya hanya tertakluk kepada makanan yang dijual di kedai dan restoran dan bukannya kepada bangunan atau premis perniagaan.
"Tidak timbul perkara premis halal atau tidak halal," kata Gan yang mengulas polisi McDonald Malaysia yang mensyaratkan kek hari jadi yang dibawa masuk ke restoran mereka mesti diperakukan halal.
Syarikat rangkaian makanan segera itu dalam satu kenyataan media semalam berkata “syarat tersebut bagi mengekalkan integriti sijil halal McDonald.”
Mengulas lanjut, Gan berkata sebrang keputusan untuk mengharamkan makanan dari luar, mesti dibuat atas pertimbangan komersial.
"Dalam hal ini, Jakim tidak sepatutnya melampaui sempadan dengan memberi pentauliahkan terhadap bangunan dan bukannya makanan,” katanya.
Gan berkata keputusan Jakim itu bakal menimbulkan risiko dalam membuat pengasingan agama mengikut takrifan halal dan tidak halal.
