Dr M, Kit Siang sepakat Mukhriz calon PM - Tunku Aziz

   

Bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang telah sepakat untuk memilih Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.

Menurut perjanjian rahsia yang dibuat pada 3 Disember lalu, ujar Tunku Aziz, Lim pula akan dilantik ke jawatan timbalan perdana menteri jika Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Ini kerana Kit Siang percaya pakatan pembangkang tidak akan memperoleh sokongan pengundi Melayu jika perancangan untuk beliau menjadi timbalan perdana menteri itu terdedah.

“Sebagai pemimpin yang pernah berada dalam barisan kepemimpin DAP sebelum ini, saya tahu mengenai perkara ini dan saya tahu perancangan sebenar mereka,” kata Tunku Aziz, memetik laporan Utusan Online.

Isu calon perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 menjadi hangat apabila HARAPAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang membentuk pakatan baru-baru ini menamakan individu berlainan untuk menerajui negara.

Dengan DAP dan PKR yang mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu negara, BERSATU pula lebih memihak kepada presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pilihan terbaik untuk jawatan itu.

Kemelut itu memaksa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk meminta pembangkang menghentikan semua cakap-cakap tentang calon untuk jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri kerana tindakan itu akan menjarakkan rakyat daripada pembangkang.

Mengulas lanjut mengenai pendedahan itu, Tunku Aziz berkata, kenyataan Lim sebelum ini yang menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisi dua jawatan itu hanyalah gimik politik.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In