'Azmin, jangan bicara ekonomi jika tak cerdik'
Naib Pengerusi Perhubungan Umno, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menyarakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak mengeluarkan kenyataan ekonomi bagi tidak memperlihat kebodohan dalam bidang itu.
Mat Nadzari berkata, beliau selaku menteri besar Selangor seharusnya melihat jumlah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diterima secara keseluruhan, bukan dilihat pada jumlah kecil yang diterima oleh setiap rakyat sahaja.
“Orang matematik duduk diam-diam buat kira-kira tolak campur darab bahagi, jangan cakap tentang ekonomi kalau tak mahir.
“Kita bukan memperkatakan hal nilai RM600 seorang tetapi jumlah keseluruhan RM5 bilion yang bakal berada dalam pasaran.
“Takkan dia bekas pekerja kementerian kewangan dan menteri besar yang suka surplus budget tak tahu kesan rantaian daripada jumlah RM5 bilion dalam setiap pasaran?” kata Mat Nadzari lagi, memetik laporan portal BNBBC.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Mohamed Azmin yang mempertahankan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai BR1M adalah rasuah terbesar di Malaysia.
“Bagi saya, BR1M adalah salah satu bentuk rasuah. Ini adalah salah satu cara sogokan. Sogokan boleh dibuat dalam pelbagai bentuk.
“Kalau nak dikatakan bantuan untuk jana ekonomi, ia tidak mampu berbuat demikian. Nilai RM600 boleh habis dalam dua hari,” jelas timbalan presiden PKR itu.
Bagaimanapun, 'bos' Azmin, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak bersetuju BR1M sebagai rasuah.
"Apa sahaja yang diberikan kerajaan perlu disalurkan kepada rakyat, itu bukan rasuah. Ia adalah hak mereka untuk mendapatkannya," kata Wan Azizah.
Mengulas lanjut, Mat Nazari berkata, Azmin mempertahankan Mahathir tanpa memikirkan pendiriannya itu selari mahupun tidak dengan Wan Azizah.
“Beliau cuba menutup kemaluan Dr Mahathir yg kini diserang pelbagai lapisan ilmuan professional agamawan dan SPRM sendiri. Apatah lagi bila berlaku percanggahan Mahathir dan Wan Azizah.
“Apa lagi yang dia pandai? Pada saya, mana mungkin dia berkiblat kan Wan Azizah, takkan kita tak tahu sejarah bagaimana hubungan sebenar Azmin dengan Mahathir dan keluarga Tun ini terutama masa belajar di Amerika?,” soal Mat Nazari.

