Pemimpin Umno Sabah tidak boleh dibeli
Beberapa pemimpin Umno di Sabah menolak dakwaan mereka pemimpin murahan yang boleh dibeli dengan wang dan projek oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi.
Beberapa pemimpin Umno di Sabah menolak dakwaan mereka pemimpin murahan yang boleh dibeli dengan wang dan projek oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi.
Sebaliknya mereka mendakwa, pemimpin Umno Sabah berhemah tinggi, mempunyai prinsip dan keadaan ini menyebabkan mereka tidak boleh dibeli walaupun ditawarkan dengan ratusan juta ringgit.
Ketua Umno Bahagian Ranau, Datuk Masidi Manjun berkata, tidak ada seorangpun pemimpin Umno Sabah yang boleh dibeli dengan wang mahupun projek sejak parti itu bertapak di Sabah pada tahun 1991.
"Dakwaan bahawa pemimpin Umno Sabah murah dan boleh dibeli tidak pernah dibuktikan oleh sesiapapun baik oleh pemimpin Umno di Kuala Lumpur mahupun Umno Sabah sendiri," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah berita Internet yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik sebagai berkata sebahagian besar ketua Umno bahagian di Sabah boleh dibeli.
Katanya, wang bukan faktor utama kepada kejayaan seseorang pemimpin Umno Sabah, sebaliknya mereka adalah pemimpin yang mahu berkhidmat untuk rakyat.
Sokong Anwar
Mengenai ketua-ketua Umno Bahagian di Sabah yang memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merebut jawatan timbalan presiden menentang Tun Ghafar Baba pada tahun 1999, Masidi berkata, "kami hanya menyokong keputusan yang dibuat oleh kelab Menteri Besar dari Semenanjung ketika itu menyokong Anwar."
Menurutnya, apabila kelab Menteri Besar yang mengetuai Kumpulan A memberi sokongan secara terbuka kepada Anwar, pemimpin Umno di Sabah berpendapat Anwar adalah pemimpin yang dipilih oleh parti.
"Politik Umno Sabah tidak sama dengan Semenanjung. Membayar tambang pengangkutan, dan mengadakan jamuan adalah perkara biasa dan ia tidak boleh dikatakan sebagai politik wang," katanya lagi.
Ketua Umno Bahagian Batu Sapi, Datuk Juhar Mahiruddin, berkata dakwaan bahawa pemimpin Umno di negeri itu boleh dibeli bukan cerita baru tetapi tersebar setiap kali musim pemilihan perhimpunan agung Umno.
Katanya dakwaan tersebut sengaja dibuat-buat oleh pemimpin Umno dari Semenanjung yang mempunyai kepentingan untuk mendapatkan undi dari bahagian Umno di Sabah.
"Ramai yang bercakap bahawa ketua Umno di Sabah boleh dibeli tetapi adakah mereka menyebut nama pemimpin-pemimpin yang rasuah itu? Masakan mereka tidak tahu kerana pengintip Umno ada di mana-mana," katanya yang Ketua Umno Bahagian Kinabatangan sejak tahun 1991 lagi.
Beliau berkata, adalah tidak adil mengatakan bahawa ketua bahagian Umno Sabah boleh dibeli kerana ia menggambarkan seolah-olah mereka tidak ada prinsip dan mengejar kedudukan dan wang ringgit semata-mata.

