Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan 3 lelaki pasang iklan solidariti Anwar
Diterbitkan:  Dec 30, 2016 10:12 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung pemasangan papan iklan dipercayai cuba menghasut rakyat berhimpun untuk bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata tiga lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika memasang papan iklan berkenaan di Jalan Baru, Perai di Bukit Mertajam, kira-kira 3 petang tadi.

"Pihak polis membuka siasatan mengikut Akta Hasutan selepas menerima laporan polis daripada orang awam berhubung pemasangan papan iklan berkenaan yang didakwa cuba menghasut rakyat.

"Semasa siasatan dijalankan, polis mengesan tiga lelaki sedang memasang papan iklan itu di kawasan Jalan Baru dan kami menahan mereka bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di Bukit Mertajam, malam ini.

Katanya tiga lelaki itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas pihaknya merekodkan keterangan mereka.

Nik Ros Azhan berkata selain di Jalan Baru, tiga papan iklan itu dipasang di Alma, Bukit Teh dan Permatang Tinggi sejak dua hari lepas juga diturunkan oleh polis.

Beliau berkata polis turut menasihatkan penganjur agar tidak terus memasang papan iklan itu supaya tidak menimbulkan kekecohan.

Hari ini, UMNO Bahagian Bukit Mertajam menggesa agar tiga papan iklan yang dipercayai cuba menghasut rakyat berhimpun untuk bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diturunkan segera.

Setiausahanya Mohd Fauzi Sharif dilaporkan berkata satu laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang memasang papan iklan itu.

- Bernama

Sejak bila kalimah 'Bebas Anwar' berbaur hasutan?

Lihat Komen
ADS