Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mangsa banjir Pantai Timur kini lebih 4,500
Diterbitkan:  Jan 3, 2017 12:04 PM
Dikemaskini: 4:06 AM

Mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur terus meningkat kepada lebih 4,500 orang pagi ini.

Di Kelantan, mangsa dilapor terus meningkat kepada 3,774 orang daripada 1,314 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,568 orang daripada 434 keluarga malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin

berkata peningkatan ketara berlaku di jajahan Pasir Mas apabila 2,322 orang daripada 936 keluarga berbanding 241 mangsa (85 keluarga) malam tadi.

Sebanyak 371 orang daripada 99 keluarga di Kuala Krai; 200 orang (47 keluarga) di Jeli; 533 orang (144 keluarga) di Tanah Merah; 321 orang (83 keluarga) di Machang dan 27 orang (lima keluarga) di Pasir Puteh, katanya ketika dihubungi Bernama.

Zainuddin berkata 40 pusat pemindahan dibuka di enam jajahan terbabit bagi menempatkan kesemua mangsa bencana alam berkenaan.

Beliau berkata peningkatan jumlah mangsa banjir terutama di Pasir Mas dan Tanah Merah, berikutan air sungai dari kawasan hulu mengalir ke kawasan berkenaan, selain hujan yang kadangkala lebat masih berterusan.

Sementara itu, dua sungai utama di Kelantan melepasi paras bahaya manakala dua lagi sungai menunjukkan peningkatan paras air pagi ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 798 mangsa daripada 212 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan membabitkan empat daerah di negeri ini.

Ia meningkat berbanding 355 mangsa setakat 10 malam tadi susulan hujan lebat berterusan menyebabkan kawasan rendah kembali dinaiki air awal pagi ini.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi aplikasi InfoBanjir, daerah Besut mencatatkan jumlah tertinggi dengan 474 mangsa dipindahkan ke enam pusat pemindahan.

Di Hulu Terengganu pula seramai 210 mangsa kini berada di tiga pusat pemindahan diikuti Dungun (84 mangsa) dan Marang (30 mangsa).

Pemindahan juga membabitkan penduduk di beberapa kawasan di Kemaman yang masih dalam proses berpindah ke pusat pemindahan banjir berdekatan.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web melaporkan empat sungai utama di Terengganu kini melebihi paras bahaya, dua sungai melebihi paras amaran dan dua sungai melebihi paras berjaga-jaga.

Lihat Komen
ADS