PKR: Bagaimana Prasarana mahu biayai projek MRT
Memetik penyata kewangan syarikat pengangkutan Prasarana Malaysia Bhd yang telah diaudit bagi tahun 2014 dan 2015, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyoal bagaimana firma itu bakal mampu membiayai projek MRT.
DanaInfra Nasional Bhd, yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan, akan memindahkan kos projek MRT apabila siap kelak kepada Prasarana, yang adalah pengendali bas dan perkhidmatan ringan metro.
Pada 26 Oktober, 2015, DanaInfra mengesahkan firma itu akan memulakan program bersepadu bagi membiayai projek MRT1 dan MRT2. Sehingga Oktober 2015, DanaInfra mempunyai hutang berjumlah RM17.6 bilion hasil membiayai projek MRT1.
Rafizi berkata, penyata kewangan Prasarana yang diaudit bagi tahun 2014 dan 2015 menunjukkan bahawa kos operasi bagi kedua-dua tahun itu lebih tinggi daripada jualan tiket dan keuntungan lain dengan masing-masing sebanyak 13 peratus dan 30 peratus.
"Sebaliknya, faedah yang terpaksa dibayar untuk hutang, mencapai RM551 juta bagi tahun 2015 dan dijangka terus meningkat," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
"Bagi tahun 2015, hutang Prasarana mencecah RM18 bilion dan ini juga dijangka meningkat berdasarkan pertambahan hutang yang ditanggung bagi tahun-tahun 2013-2016," katanya.
Kerajaan, kata Rafizi akan terpaksa menyuntik dana baru ke firma itu dari semasa ke semasa.
"Dengan kedudukan kewangan semasa Prasarana, pengambilalihan operasi serta hutang MRT ini akan memburukkan lagi kedudukannya."
Dan menjelang 2022, berdasarkan anggaran kasar dan pembayaran faedah RM2 bilion setahun,
Rafizi menganggarkan hutang Prasarana akan mencecah RM70 bilion,
Jumlah hutang itu, katanya akan mengatasi rekod yang dicipta oleh syarikat pelaburan negara, 1MDB.
Sementara itu, Rafizi terus berkeras bagawa kos projek MRT akan bernilai lebih daripada RM100 bilion. Beliau secara konsisten mendakwa bahawa kos keseluruhan projek akan mencecah lebih RM100 bilion.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kenyataan DanaInfra pada 2015 mengesahkan bahawa kos keseluruhan projek MRT sememangnya lebih daripada RM100 bilion memandangkan pembiayaan untuk kedua-dua projek MRT1 dan MRT2 adalah lebih daripada RM50 bilion.
Dan kos berkenaan, kata beliau, akhirnya akan ditanggung oleh rakyat.
Ini, katanya, akan dibuat sama ada melalui bentuk kenaikan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), atau peningkatan dalam kadar tambang pengangkutan awam.
“Jika mahu lihat GST naik kepada lapan peratus, undi (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Abdul Razak). Selepas pilihan raya, ia pasti akan naik menjadi lapan peratus," kata Rafizi.

