Pasaraya Tesco menafikan dakwaan pihaknya membuang al-Quran dan telekung ke dalam tong sampah di surau wanita di cawangannya di Mutiara Damansara yang kini menular di Facebook.

Pegawai Perhubungan Tesco, Siti Haniza Ab Rahman berkata, kejadian itu adalah tidak benar dan telah disalahtafsirkan.

Malah, beliau juga memberitahu bahawa salah-faham berkenaan telah diselesaikan secara dalaman.

"Kami telah dimaklumkan tentang khabar angin yang melibatkan kejadian di surau wanita Tesco Extra Mutiara Damansara yang sudah tersebar di media sosial, terutamanya di Facebook.

"Kami ingin menjelaskan bahawa kejadian yang telah dinyatakan tersebut adalah tidak benar dan telah disalahtafsirkan," kata Siti Haniza dalam kenyataannya kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar lebih bertanggungjawab untuk berkongsi maklumat.

Sebelum ini, terdapat dua keping gambar yang diviralkan dengan kapsyen antaranya mendakwa naskah al-Quran serta telekung dibuang ke dalam tong sampah di Tesco Mutiara Damansara.

Malah, keterengan gambar itu turut mendakwa terdapat pergaduhan antara pengurus dan pekerja pasaraya berkenaan.

"Baru tadi ada kes kat Tesco Mutiara Damansara, surau untuk kita, dibuang segala isi dalam. Quran dan telekung dibuang ke dalam tong sampah.

"Disebabkan terlampau kecoh tadi, di panggil mesyuarat semua kakitangan dan digertak agar tidak diviralkan," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, gambar yang diviralkan itu tidak memaparkan al-Quran yang dibuang ke dalam tong sampah namun hanya telekung yang dimasukkan ke dalam beg plastik serta beberapa bungkusan beg plastik sahaja yang kelihatan.