Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati menyalahgunakan kad kredit milik seorang timbalan pendakwa raya yang dilaporkan hilang pada Ahad lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Supt Chan Teck Paing berkata suspek berumur 20 tahun itu dikesan membeli dua telefon bimbit dan membayar bahan api di sebuah stesen minyak di Jitra menggunakan kad kredit itu.
Katanya lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Alor Ali, Tokai, Pendang kelmarin selepas timbalan pendakwa raya berusia 33 tahun dari Jitra itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada Ahad malam.
Polis menemui kad kredit mangsa dan dua telefon bimbit daripada suspek, katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah semalam.
"Kad kredit mangsa dipercayai tertinggal selepas mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jitra dan hasil semakan melalui laman sesawang perbankan Maybank2u.com mendapati kad kredit miliknya telah disalahgunakan pihak lain membabitkan RM5,650," katanya.- Bernama
