Umum keputusan usul tidak percaya AJK Umno Selayang
Ibu Pejabat Umno dan Badan Perhubungan Umno Selangor perlu mengumumkan dengan segera mengenai keputusan Umno Bahagian Selayang yang menolak usul tidak percaya terhadap Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian dalam mesyuarat tahunan baru-baru ini.
Ibu Pejabat Umno dan Badan Perhubungan Umno Selangor perlu mengumumkan dengan segera mengenai keputusan Umno Bahagian Selayang yang menolak usul tidak percaya terhadap Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian dalam mesyuarat tahunan baru-baru ini.
Ketua Umno Cawangan Kampung Melayu Tambahan, Rawang, Mohamat Nor Rajeae berkata, sehingga hari ini beliau tidak menerima sebarang berita mengenai perkara itu.
Beliau yang mengemukakan usul tidak percaya terhadap Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Selayang menghantar laporan kepada Ibu Pejabat Umno dan Badan Perhubungan Umno Selangor pada 19 Mei lalu.
"Saya mahu mereka membuat keputusan sama ada AJK Umno Selayang masih berfungsi atau sebaliknya. Mengikut peraturan, apabila usul tersebut dibentangkan, AJK lama akan terbatal dan AJK Penaja perlu dilantik oleh Umno Selangor," katanya ketika ditemui oleh malaysiakini hari ini.
"Saya percaya pucuk pimpinan Umno mahu menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan ahli."
Dalam mesyuarat yang diadakan di Kelab Golf Perangsang Templer di Rawang, Mohamat Nor membuat usul tidak percaya terhadap AJK Umno Selayang di bawah Fasa 3 Ceraian 3 iaitu gagal memeperjuangkan hak bangsa, agama dan negara.
Bagaimanapun, beliau tidak membuat usul tidak percaya terhadap Ketua Bahagian Umno Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman dan timbalannya, Soohaimi Abdul Rahman. Mesyuarat Umno Selayang dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim dan dihadiri oleh 400 perwakilan dari 47 cawangan.
Mohamat Nor membuat laporan kepada Ibu Pejabat Umno dan Perhubungan Umno Selangor setelah mesyuarat menolak usul tergempar tersebut dengan alasan ia tidak memenuhi peraturan mesyuarat iaitu perlu mengemukakan usul 14 hari sebelum mesyuarat.
Katanya, Pengerusi Tetap Umno Selayang, Aziz Salleh membenarkan beliau membentangkan usul tersebut sebelum ia dibantah oleh Ketua Penerangan Umno bahagian, Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail.
Sokongan majoriti
Mohamat Nor berkata, usul yang dibentangkan itu mendapat sokongan majoriti daripada perwakilan dan ini bermakna usul tersebut boleh dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
Bagaimanapun, katanya, apabila Raja Ahmad Niza membantah, Aziz menjadi kelam kabut dan mengambil keputusan menangguhkan mesyuarat untuk memberi laluan kepada peserta solat Maghrib.
Beliau berkata, selepas itu Aziz mengumumkan mesyuarat ditangguhkan dan sekaligus usul undi tidak percaya tidak dibincangkan.
"Saya membantah tetapi beliau enggan melayan dan berkata usul tidak boleh diterima menyebabkan saya membuat aduan kepada Ibu Pejabat Umno dan juga badan Perhubungan Umno Selangor," katanya.
Dalam usul tersebut, Mohamat Nor mendakwa, AJK Umno Selayang tidak ikhlas dalam memberikan sokongan kepada Ahmad Bhari (
kanan
) dan sekadar di atas kertas sahaja.
Katanya, AJK membiarkan Ketua Bahagian seorang diri turun padang untuk menerangkan sesuatu isu sebaliknya timbalan ketua bahagian, setiausaha, ketua penerangan dan bendahari sibuk dengan dengan agenda untuk bertanding dalam kumpulan tujuh.
Menurutnya lagi, pihak-pihak tertentu dalam Umno Selayang mengambil kesempatan daripada kawasan penempatan setinggan Bukit Botak yang mempunyai 1,600 lot dengan 80 peratus adalah orang Melayu.
Katanya, keadaan ini menyebabkan jalan penyelesaian yang dirintis oleh Kerajaan Selangor pada tahun 1987 gagal kerana mereka yang mempunyai kepentingan menentang pembangunan Bukit Botak.

