DAP menafikan dakwaan parti itu akan memberi RM50 kepada mereka yang hadir pada Himpunan Solidariti sebagai menunjukkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pulau Pinang pada minggu depan.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid berkata, laporan yang disiarkan oleh portal berita pro-BN bertajuk 'Hadir Himpunan Solidariti, DAP Beri dedak RM50' itu dibuat berdasarkan andaian.
"Laporan yang berat sebelah itu adalah mengelirukan, berunsur penipuan dan mampu mewujudkan gangguan sosial yang tidak sepatutnya," kata beliau dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut portal berita berkenaan, Selain pemberian dedak RM50, DAP juga akan menaja pengangkutan bas dan makan minum kepada mereka yang hadir pada hari tersebut.
Turut disertakan dalam laporan itu adalah kandungan mesej yang disebarkan menerusi aplikasi whatsapp yang meminta penyokong pembangkang supaya hadir di mahkamah pada hari tersebut:
“Selamat pagi. Datuk Seri Anwar akan berada di Mahkamah Tinggi George Town pada hari Isnin ini 9/1/17, jam pukul 8.30 am. anggota parti dan sukarelawan diminta tunjukkan sokongan dgn menyertai perhimpunan di situ. Adakah saudara boleh turut serta? Perkhidmatan bas dan makanan disediakan. Masa 8.30 am hingga 12 tengah Hari. Sila respon. Thanks”
Anwar akan dibawa ke Pulau Pinang untuk menghadiri kes mahkamah mulai 9 hingga 11 Januari ini di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membabitkan saman beliau ke atas akhbar The New Straits Times.
Mengulas lanjut, Syerleena berkata, pihaknya mahu portal berita tersebut mendedahkan mesej sebenar yang dihantar menggunakan aplikasi whatsapp beserta nombor telefon penghantarnya sebagai bukti.
Pada masa yang sama, beliau juga menuntut portal tersebut menarik balik laporan berkenaan dan meminta maaf kepada DAP.
"Oleh kerana pilihan raya umum semakin hampir, kita akan menyaksikan lebih banyak serangan seperti ini," ujar beliau yang juga pengarah pendidikan politik wanita negeri DAP.
