Wad lelaki di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini, terpaksa dikosongkan selepas bumbung bangunan yang menempatkan wad itu terbakar dalam kejadian tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Datuk Yahaya Madis berkata kebakaran dipercayai bermula dari sebuah stor menyimpan barang lama yang terletak di belakang wad berkenaan.

"Api bermula dari situ dan merebak naik ke siling yang diperbuat daripada kayu yang sudah lama dan kering, seterusnya merebak ke bumbung wad," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Yahaya berkata kebakaran bagaimanapun tidak menjejaskan bahagian di dalam wad dan tiada kecederaan dilaporkan.

"Kesemua 21 penghuni wad ini berjaya dikeluarkan dengan selamat," katanya.

Yahaya berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.19 tengah hari sebelum 19 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan Simpang Pulai digegaskan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati api sudah berjaya dikawal oleh Emergency Respond Team Hospital Bahagia dan pihak bomba mengambil alih untuk memadamkan kebakaran," katanya.

Beliau berkata pihak bomba akan menjalankan siasatan lanjut mengenai punca sebenar kebakaran dan siasatan dijangka selesai dalam tempoh tiga hari.

- Bernama