Akibat mencuri sembilan patung Buddha dan pembesar suara milik seorang guru vokal wanita, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dipenjara enam bulan leh Mahkamah Majistret di ibunegara hari ini.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas Yasin Low Abdullah, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri sembilan patung gangsa Buddha dan dua pembesar suara milik Yee See Yen, 50, yang kesemuanya bernilai RM40,000.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 4 Januari lepas.

Yasin Low didakwa melakukan kesalahan itu di Blok A 26-4-2, Cheras Business Centre, Jalan 5/101C Cheras, di sini antara 20 Nov 2016 dan 5 Jan 2017.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga didenda dan sebat.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu dia telah insaf dan memohon mahkamah memberinya peluang dengan menjatuhkan hukuman berbentuk denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin.

- Bernama