Isu dana sekolah Cina RM50j selesai 2 minggu lagi
Kementerian Pendidikan akan menerima dana RM50 juta untuk diagih-agihkan kepada 834 buah sekolah rendah Cina dalam tempoh dua minggu akan datang.
"Dana peruntukan itu akan tersedia selewat-lewatnya 19 Januari ini," kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, memetik laporan The Star.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis undian bagi terbitan 130 juta saham Matang Bhd hari ini.
Dua hari yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminannya untuk menyelesaikan isu masalah dana untuk sekolah rendah Cina pada kadar segera.
Ia didedahkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, ketika pertemuannya dengan Najib bersama dengan Wee.
Mereka juga telah bertemu dengan Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum mesyuarat kabinet.
Sebelum ini, sekolah-sekolah rendah Cina mengadu bahawa peruntukan geran RM50 juta yang dijanjikan kepada mereka masih belum disalurkan.
Mengulas lanjut, Wee yang juga menteri di jabatan perdana menteri berkata, justeru, beliau mahu pihak berkepentingan agar bersabar kerana kementerian memerlukan dua minggu untuk memuktamadkan kertas kerja.

