Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Apa yang kukuh dengan ekonomi Malaysia, Irwan?

ULASAN l Bagi Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah ekonomi negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah kukuh.

Dalilnya, menurut beliau, pada sidang akhbar di Putrajaya, semalam, setiap kali beliau ke restoran dan pasar raya, rakyat sibuk membeli-belah dan melancong.

Sebaliknya, bagi Mohd Irwan, kemerosotan ekonomi dan nilai ringgit berlaku disebabkan oleh tanggapan yang dicipta oleh sesetengah pihak yang mesti diperbetulkan.

Kata beliau yang juga pengerusi 1MDB, isu seperti skandal firma pelaburan negara itu dan dakwaan pentadbiran Najib, punca kemerosotan mata wang negara hanya semata-mata tanggapan.

Jika benar kata Mohd Irwan, semua itu sekadar tanggapan, rakyat negara ini mampu menarik nafas lega setiap kali membuka dompet.

Ini kerana harga barangan atau perkhidmatan sama ada kekal atau tidak naik.

Rakyat negara ini juga tidak akan mengeluh ketika berbelanja bagi membeli peralatan dan baju sekolah anak-anak dan ketika mengisi petrol mulai 1 Januari lalu.

Jika benar apa yang berlaku hari ini hanya tanggapan, rakyat juga tidak perlu risau mengenai jangkaan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bahawa 45,000 hingga 50,000 pekerja akan kehilangan punca pendapatan tahun ini!

Mampukah rakyat senyum?

Mengapa rakyat tidak mampu tersenyum sedangkan apa yang berlaku itu hanya sekadar tanggapan.

Di sebalik semua 'tanggapan' Mohd Irwan ini, denyut nadi rakyat merasai, mengalami, menempuhi serta menyaksikan sebaliknya.

Tiga hari lalu, rakyat dikejutkan dengan nilai ringgit yang menjunam ke paras terendah baru iaitu RM4.5002 berbanding dolar Amerika Syarikat sejak krisis kewangan Asia 1998.

Dengan mencecah titik terendah pada nilai RM4.88 berbanding AS$1 pada bulan Januari 1998, BMI Research mengeluarkan amaran bahawa matawang tempatan itu diramalkan jatuh lagi.

Malah ini diperakui oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz yang berkata ringgit hanya akan pulih dalam suku ketiga tahun ini.

Kesan kejatuhan nilai ringgit yang terus merudum turut memberi kesan ke atas harga emas di peringkat tempatan walaupun harga komoditi tersebut di pasaran antarabangsa menurun.

Akibat kejatuhan nilai ringgit, kebanyakan kedai emas di peringkat tempatan tidak dapat menurunkan harga kerana menggunakan dollar Amerika dalam urusan jual beli.

Justeru, jualan komoditi tersebut sebagai barang kemas bakal terjejas sehingga 20 peratus meskipun perayaan Tahun Baharu Cina semakin hampir.

Rakyat terus derita

Jualan barang-barang kemas juga dikatakan akan merosot kerana ramai orang tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan serta musim sesi persekolahan baharu.

Tempias kejatuhan matawang tempatan juga menyebabkan rizab antarabangsa Bank Negara merosot sekitar RM8 bilion setelah kini berlegar-legar di tahap AS$94.6 bilion (RM423.3 bilion) pada 30 Disember yang lalu.

Pada pertengahan bulan lalu, ia berada pada paras AS$96.4 bilion (RM431.4 bilion).

Di samping itu, Bursa Malaysia terus kekal dalam wilayah negatif setelah mengejutkan pasaran dan penganalisis apabila membuka tirai 2017 dengan kedudukan cukup lesu.

Walaupun mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan lebih tinggi, namun, keberterusan bursa tempatan untuk kekal sangat zon tersebut wajar diberikan perhatian.

Prestasi bursa pagi ini didorong momentum belian terhadap saham-saham berwajaran tinggi selain pengaruh harga minyak mentah dalam persekitaran pasaran serantau yang bercampur-campur.

Pada masa yang sama, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) turut menzahirkan kebimbangan pengilang mengenai kesan kenaikan harga gas terkumpul sehingga 22.6 peratus menjelang akhir tahun 2019.

Selain kesan harga terhadap keadaan ekonomi dan pasaran secara lazimnya, kenaikan tersebut akan menjejaskan daya saing industri berbanding pesaing peringkat serantau.

Tambahan pula, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei Malaysia menunjukkan pengecutan pengeluaran pembuatan selama 21 bulan berturut-turut dengan tiada tanda-tanda pemulihan.

Gajah dan semut

Selain para pengilang, rakyat Malaysia secara umumnya akan terus 'menderita' jika jangkaan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menjadi kenyataan.

Kata Fomca, rakyat perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan kenaikan harga barang dan perkhidmatan supaya tidak terlalu terkesan dalam kehidupan seharian.

Justeru, apakah tinjauan Mohd Irwan yang mengatakan orang ramai masih mengunjungi pasaraya dan makan di restoran wajar untuk menggambarkan ekonomi Malaysia masih kekal kukuh.

Mungkin Mohd Irwan tidak nampak sebenarnya rakyat yang berada di pusat membeli belah itu mungkin melepak di sana-sini akibat menganggur.

Mungkin juga sekadar berkongsi suasana penghawa dingin atau tandas awam serelah terpaksa an hidup di jalanan meminta makanan dan sedekah.

Mungkin juga ada yang diberhentikan kerja cuba merayau-rayu mencari pekerjaan bagi menyara hidup keluarga mereka.

Sudah sampai masanya bagi Mohd Irwan melihat secara menyeluruh. Janganlah seperti kata pepatah Melayu ‘gajah di pelupuk mata tidak terlihat, semut di seberang lautan terlihat jelas’.


 

Lihat Komen
ADS