Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Papan iklan, kain rentang solidariti Anwar hilang

Sebelas papan iklan dan 20 kain rentang yang dipasang oleh PKR di Pulau Pinang untuk menjemput orang ramai menghadiri satu ceramah dan satu kes mahkamah di George Town yang melibatkan pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, didapati telah hilang.

Timbalan Ketua PKR Bayan Baru, Ahmad Azrizal Tahir, berkata ia didapati hilang awal pagi semalam.

Oleh kerana polis melarang perkataan 'Bebas Anwar' pada kain rentang itu, maka bahan yang hilang itu hanya menggesa penyokong Anwar menghadiri dua acara tersebut, kata Azrizal.

"Kami percaya ia dibuang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," kata Azrizal (gambar) dalam sidang akhbar di Bayan Baru malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya tidak fikir ia dilakukan oleh pihak polis kerana menurut beliau, biasanya apabila ia menurunkan barangan seumpama itu, semuanya akan dimuatkan ke dalam lori mereka.

Bagaimanapun, katanya, kali ini pihaknya dapati bingkai papan iklan itu ditinggalkan.

"Kami tidak mahu membuat spekulasi atau menamakan sesiapa, tetapi orang akan fikir ini telah dilakukan oleh pesaing politik kami."

Tiga lelaki ditahan untuk siasatan di bawah Akta Hasutan Jumaat lalu apabila mereka meletakkan kain rentang untuk mempromosikan perhimpunan itu di Seberang Jaya untuk menyokong pemimpin de facto PKR itu, yang akan diadakan pada 9 Januari.

Perhimpunan itu kebetulan sama dengan tarikh kes di mahkamah sivil dari 9 hingga 12 Januari di Pulau Pinang, di mana Anwar perlu hadir.

Anwar akan dipindahkan sementara dari Penjara Sungai Buloh di Selangor ke penjara di George Town untuk menghadiri perbicaraan itu.

Bekas ketua pembangkang itu menyaman dua wartawan New Straits Times dan peguam Ranjit Singh Dillion atas dakwaan bahawa beliau membayar mendiang Karpal Singh RM50 juta untuk merasuah hakim.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan atas tuduhan liwat - tuduhan yang didakwanya bermotifkan politik.

Terdahulu, kain rentang yang sama di Alma, Bukit Teh dan Permatang Tinggi di tanah besar Pulau Pinang telah diturunkan oleh pihak polis.

Polis telah menasihatkan penganjur perhimpunan itu berhenti memasang kain rentang itu, dengan berkata ia tidak mempunyai permit polis.

Setiausaha Umno Bukit Mertajam Mohd Fauzi Sharif telah membuat laporan polis, menggesanya untuk mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan itu.

Azrizal mengakui bahawa papan iklan dan kain rentang telah dipasang oleh seorang kontraktor tanpa kelulusan majlis tempatan.

Biasanya, kata beliau, majlis tempatan akan menghubungi pihaknya untuk mengemukakan dokumen berkaitan, seperti persetujuan pemilik tanah, dalam masa tiga hari.

Beliau berkata, pihaknya telah menyediakan surat untuk dikemukakan kepada pihak majlis hari ini, tetapi sekarang tidak perlu lagi berbuat demikian kerana semua kain rentang itu telah hilang.

Ini, katanya hanya menunjukkan bahawa Anwar masih ditakuti dan kekal sebagai faktor penting dalam senario politik negara.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS