MCA membantah cadangan untuk menganjurkan himpunan mega untuk memberi penerangan kepada orang ramai terutamanya umat Islam tentang Akta 355.

Presiden parti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, himpunan yang dijadualkan pada 18 Feb di Dataran Merdeka itu bersifat 'pecah-belah' dan menjejaskan perpaduan di kalangan pelbagai kumpulan etnik di negara ini.

"Kami menentang perhimpunan itu jika ia memecah-belahkan masyarakat dan menyebabkan perpecahan di negara ini. Adalah penting bagi kita bertindak secara bertanggungjawab mengikut undang-undang dan peraturan," katanya, menurut laporan Star Online.

Semalam, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, himpunan tersebut akan turut disertai ratusan NGO yang menyokong pindaan rang undang-undang berkenaan.

Beliau yang juga timbalan presiden PAS berkata, himpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka itu menganggarkan kehadiran kira-kira 300,000 orang yang terdiri daripada anggota parti, NGO serta orang ramai.

Antara NGO yang akan hadir serta menjadi penganjur bersama himpunan ini ialah Sekretariat Ummah, Majlis Peguam Muslim Malaysia, Majlis Profesional Muslim Malaysia, Pertubuhan Pembela Islam dan Majlis Amal Islami Malaysia.

"Himpunan ini objektif besarnya ialah untuk kita sama-sama nyatakan matlamat untuk bagi penjelasan terhadap kewajaran Akta 355 dan kenapa mesti disokong oleh semua umat Islam, khususnya ahli Parlimen.

Himpunan berkenaan akan bermula pada jam 3 petang dan dijangka berakhir pada jam 11 malam.

[Baca berita penuh]