Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gaji akan naik dalam 12 bulan mendatang - kajian
Diterbitkan:  Jan 9, 2017 3:28 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Komuniti perniagaan di Malaysia menjangkakan gaji pekerja akan naik dalam tempoh 12 bulan akan datang, menurut satu kajian yang dibuat oleh Grant Thornton International Business Report (IBR).

Gaji pekerja dan lain-lain petunjuk ekonomi yang penting, termasuk hasil, eksport, harga jualan, pekerjaan dan juga keuntungan dijangka akan bertambah baik walaupun keyakinan unjuran yang kurang memberangsangkan untuk tahun akan datang, kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Malaysia mempunyai komuniti bisnes yang terbanyak di rantau ASEAN yang sedang dalam perancangan untuk meningkatkan gaji kakitangan dalam 12 bulan akan datang.

"Sebanyak 86 peratus daripada perniagaan berharap untuk menawarkan kenaikan gaji bagi pekerja-pekerja mereka pada tahun akan datang berbanding 78 peratus dalam suku ketiga tahun 2016," kata Rakan Kongsi Pengurusan Negara Datuk Narendra Kumar Jasani.

Beliau berkata keyakinan yang agak rendah kali ini adalah disebabkan oleh prestasi ringgit.

"Turun naik kadar pertukaran menjadi kekangan terbesar untuk pembesaran perniagaan di Malaysia, dengan 76 peratus daripada eksekutif syarikat perniagaan menggariskannya sebagai satu cabaran.

"Ini merupakan peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding 42 peratus pada suku ketiga tahun 2016 dan adalah yang tertinggi di rantau ASEAN," katanya.

Tinjauan tersebut juga mendedahkan bahawa 36 peratus perniagaan di Malaysia meramalkan hasil akan meningkat pada suku keempat tahun 2016 berbanding dengan 26 peratus suku sebelumnya.

"Harga jualan dan keuntungan juga dijangka naik dalam tempoh 12 bulan dengan 20 peratus perniagaan menjangkakan peningkatan dalam harga jualan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS