Penerbangan murah jadikan penjagaan kesihatan M'sia terbaik dunia
Malaysia memiliki penjagaan kesihatan terbaik di dunia, menurut Indeks Persaraan Global 2017 oleh majalah International Living sekali gus menewaskan Costa Rica, Colombia dan Mexico.
Dalam satu artikel mengenai industri pelancongan perubatan dalam kalangan penduduk barat, majalah tersebut menjelaskan ia disebabkan kos dan kualiti penjagaan kesihatan yang disediakan di negara ini.
"Dolar Amerika yang kuat, kos penerbangan murah, kos penjagaan kesihatan yang tinggi di negara-negara barat, dan senarai menunggu yang lama- semuanya menyumbang kepada ledakan pelancongan perubatan di Malaysia dalam dekad yang lalu," tulis Keith Hockton.
Hockton berkata doktor Malaysia adalah terlatih dan banyak hospital diiktiraf, termasuk mendapat pensijilan daripada Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) di Amerika Syarikat.
"Malaysia mempunyai beberapa orang doktor yang terbaik dalam Asia, dan majoriti mereka telah dilatih di Amerika Syarikat, Australia, atau UK," katanya sambil menambah mereka juga bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.
Hockton tinggal di Malaysia di bawah Program Rumah Keduaku.
Beliau berkata, salah satu daripada pertimbangan lain menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama adalah kerana "kurang atau tidak ada masa menunggu".
Beliau berkata: "Ia adalah semudah mendaftar di hospital pilihan anda dan kemudian menunggu pakar tertentu untuk melihat anda.
"Anda juga tidak perlu dirujuk kepada pakar tertentu oleh doktor perubatan umum," tulisnya.
Tambahnya, terdapat juga hospital yang bukan berasaskan keuntungan seperti Hospital Lam Wah Ee di Pulau Pinang.
Mengulas perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata tulisan itu merupakan satu penghargaan dan memberikan inspirasi.
"Pencapaian ini adalah bukti kepada sistem penjagaan kesihatan yang maju di Malaysia yang boleh diperolehi dengan kadar berpatutan dan kualiti bertaraf dunia," kata Subramaniam dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kerajaan memastikan peraturan yang ketat dan tegas bagi melindungi kualiti, keselamatan dan etika penjagaan kesihatan di negara ini, di samping memastikan semua orang mendapat rawatan sewajarnya.

