Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan dakwaan Umno bersekongkol dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk menjatuhkan PAS di Kelantan sebagai tanggapan yang tidak tepat.

Sebaliknya, Tengku Adnan berkata Umno-BN langsung tidak berminat untuk mengambil tahu perihal mana-mana parti pembangkang.

"Ini semua tanggapan yang tidak tepat, kita sentiasa melihat sebagai sebuah parti kita akan menjaga parti kita, parti lain kita tak campur.

"AMANAH ke, PAS ke, BERSATU ke DAP itu dia punya pasal yang penting Umno-BN akan terus menjaga kepentingan rakyat kerana kita merupakan parti yang sentiasa mementingkan kepentingan rakyat dan kita juga telah dididik untuk pastikan bahawa rakyat didahulukan pencapaian diutamakan dan kita tepati janji-janji kita," katanya.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian selepas merasmikan majlis sambutan tahun ayam sempena Tahun Baru Cina akan datang di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah semalam dilaporkan sebagai berkata, peristiwa tahun 1978 mungkin berulang di Kelantan apabila parti serpihan bekerjasama dengan Umno bagi menumbangkan kerajaan PAS.

Katnya, kemunculan Parti Amanah Negara (AMANAH) terutamanya di kawasan marginal PAS sedikit sebanyak boleh menjejaskan usaha bagi mempertahankan kerusi tersebut.

"AMANAH mungkin bekerjasama dengan Umno untuk tumbangkan kerajaan PAS di Kelantan seperti yang pernah dilakukan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA) pada PRU 1978.

“Kemungkinan itu tidak dapat ditolak, boleh jadi Umno taja calon daripada AMANAH di kawasan yang mereka anggap boleh menang,” katanya, yang dipetik Harakah Daily.