Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MTUC: Pekerja asing takkan lari jika dibayar sewajarnya

Pekerja asing tidak akan lari jika mereka dibayar oleh majikan dengan upah yang sewajarnya, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agung MTUC, Gopal Kishnam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) mahu kerajaan mengalihkan bayaran levi kepada pekerja asing dan bukannya majikan.

"Jika majikan membayar pekerja asing dengan upah sewajarnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak, pekerja tidak akan lari," katanya kepada Malaysiakini.

Gopal mengatakan bukan mudah untuk pekerja asing melarikan diri kerana mereka akan ditimpa kesusahan jika ditangkap oleh pihak polis.

Tambah beliau, pekerja asing lebih cenderung untuk lari kerana mereka tidak diberikan tugasan seperti dijanjikan sebelum tiba di Malaysia.

Tidak bersetuju dengan MBAM, Gopal berkata, pekerja asing tidak perlu membayar levi sendiri kerana mereka datang dari latar belakang kewangan yang tidak stabil.

"Saya fikir majikan perlu membayar levi pekerja asing kerana mereka datang dari (negara-negara) ekonomi kurang stabil dan berada di sini untuk dapatkan wang bagi menyara keluarga," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang mahu mengurangkan bonus pekerja tempatan jika perlu membayar levi pekerja asing, jelas Gopal, ia bergantung sama ada bonus bersifat kontrak atau sebaliknya.

"Adalah tidak patut bagi syarikat-syarikat untuk mengurangkan bonus pekerja jika bonus ditetapkan dalam kontrak mereka," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS