Walaupun ramai yang membantahnya, tetapi kerajaan meneruskan juga langkah mewajibkan pemasangan label hologram keselamatan pada produk farmaseutikal, yang sekaligus turut menaikkan harganya.

Satu lagi persoalan yang timbul ialah mengenai rasional penggunaan label hologram yang diimport dari Perancis sedangkan ia boleh diperolehi dalam negeri pada harga lebih murah, dan dapat mengelak pengguna dibebankan dengan kenaikan harga.

Selain persatuan pengguna dan orang ramai, Persatuan Farmaseutikal Malaysia (Pama) yang mewakili 53 syarikat farmasi, turut menolak cadangan tersebut.

Mulai 1 Mei, Kementerian Kesihatan mewajibkan semua produk farmaseutikal yang berdaftar mempunyai label hologram 8mm x 16mm, bagi memudahkan usaha mengesan produk tiruan atau yang tidak didaftar.

Semua produk bukan suntikan telah dipasang label tersebut sejak lima minggu lalu manakala produk berbentuk suntikan hanya dikehendaki menggunakan label hologram mulai 1 Julai ini. Produk tertentu produk kecantikan dan yang sensitif pada suhu, telah dikecualikan.

Langkah tergesa-gesa

Para pengkritik berkata langkah tersebut diambil tergesa-gesa hanya kerana wujudnya beberapa ubatan dan makanan kesihatan tiruan dalam pasaran.

Manakala yang lainnya mendakwa, ia merupakan satu lagi bentuk kronisme dengan mewujudkan peluang perniagaan kepada "rakan-rakan dalam pentadbiran".

Label hologram(Meditag) dijual pada harga 5.6 sen setiap satu, dengan jumlah tempahan minimum 200 label (manual) dan 15,000 label (mesin), dari pembekal tunggal yang sah, Mediharta Sdn Bhd.

Syarikat tersebut dimilik oleh beberapa individu termasuk Saleha Mohd Alil kakak ipar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Phama, yang turut dianggotai oleh Bayer (M) Sdn Bhd, Bristol Myers Squibb (M) Sdn Bhd, GloxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd and Pfizer (M) Sdn Bhd, mencadangkan pilihan terhadap penggunaan hologram.

Menurutnya, seperti yang disiarkan dalam lamanweb Dewan Perniagaan Malaysia-Amerika, penggunaan hologram itu bukanlan satu langkah keselamatan yang terjamin sepenuhnya.

"Pengeluar barangan tiruan yang sofistikated dan mempunyai sumber kewangan kukuh mampu mengatasi sebarang teknologi pengesahan ketulenan yang ada sekarang," tambahnya.

Phama mengambil contoh kes-kes di Asia dan Russia di mana hologram yang sama telah dapat ditiru dalam tempoh enam bulan ia diperkenalkan. Malah, katanya, penggunaan satu jenis label sahaja untuk semua produk, akan memudahkan lagi ia ditiru.

Sebagai alternatifnya, Persatuan yang ditubuhkan pada tahun 1972 itu, mencadangkan penubuhan jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pihak industri bagi membincangkan usaha pengawalan, bertukar maklumat bagi membanteras kegiatan peniruan.

Ia juga mencadangkan pegawai penguatkuasa kastam dilatih mengenalpasti produk farmaseutikal tulen serta menyemak undang-undang sedia ada berhubung pengeluaran produk tiruan, bagi mewujudkan pasukan penguatkuasa yang cekap bagi memburu penyagak terbabit.

'Jangan bebankan pengguna'

Ketika dihubungi semalam, Presiden Fomca, N Marimuthu berkata, kerajaan telah mensasar dan menghukum pihak yang salah.

"Memanglah ia untuk keselamatan tetapi tidak perlu menggunakan hologram. Ianya mudah sahaja, kebanyakan pengguna tidak membeli ubat dan vitamin di kedai kopi atau warung. Mereka membelinya dari kedai farmasi yang sah, dari doktor ataupun syarikat jualan langsung.

"Mereka ini profesional dan tentunya mengenali produk tiruan. Kerajaan boleh memastikan mereka tidak menjual produk tiruan, dengan melakukan pemeriksaan mengejut, dan bukannya membebankan pengguna dengan memaksa penggunaan label (hologram) yang pastinya akan menaikkan harga produk," tambahnya.

Manakala syarikat pembekal hologram tersebut, Mediharta, dalam jawapan melalui emel, mengulangi pendiriannya bahawa ia bekerjasama dengan kerajaan untuk membanteras produk kesihatan tidak didaftar, di pasaran.

Menurutnya, penggunaan produk tidak didaftar ini membahaya diri pengguna dan ancamannya semakin meningkatkan kebelakangan ini.

"Di Malaysia, produk tidak didaftar bernilai RM6.5 juta telah dirampas pada 2003. Pada 2004, ia meningkatkan empat kali ganda kepada RM26 juta," kata seorang pegawai kanan syarikat tersebut.

Label lulus ujian

Beliau yang tidak mahu namanya disebut, berkata, ciri-ciri keselamatan pada label tersebut telah diuji secara saintifik, dan hologram itu sukar dipalsukan.

Malah, katanya, ciri-ciri keselamatan dalam label tersebut membabitkan penggunaan gabungan pelbagai jenis teknologi keselamatan.

Mediharta mendakwa pihaknya menerima sokongan daripada syarikat-syarikat dalam industri tersebut, sambil menegaskan bahawa Meditag telah membantu mereka mengekalkan dayasaing dalam perniagaan.

"Semua syarikat berdaftar telah mula menggunakan Meditag. Yang lebih menariknya, sesetengah syarikat yang dikecualikan daripada penggunaannya, turut memohon untuk berbuat demikian," katanya sambil menambah, hanya syarikat yang diwajibkan sahaja, mendapat bekalan label tersebut.

Syarikat tersebut juga menyentuh mengenai laporan sebelum ini mengenai kes-kes di mana pengguna produk yang tidak didaftar, mengalami kesan sampingan, termasuk menyebabkan kematian.

Ia termasuklah ubat yang digunakan oleh seorang pakar bedah kosmetik di Jalan Raja Laut di mana pelanggannya, seorang pramugari, meninggal dunia Oktober tahun lalu, di samping ubat Viagra dan ubat perangsang seks.