Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tawaran Jamal: Terpulang pada FAS, kata Amiruddin

Terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sama ada mahu memilih Datuk Seri Jamal Md Yunos sebagai presiden persatuan itu, kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amiruddin Shari.

"Terpulang kepada FAS nak lantik Jamal...," kata Amiruddin ketika dihubungi Malaysiakini.

Pemimpin kontroversi Umno Datuk Seri Jamal Md Yunos semalam berikrar membawa pasukan Selangor setanding dengan Johor Darul Takzim (JDT) jika dilantik sebagai presiden FAS.

Ikrar itu dinyatakan dalam sidang media di hadapan bangunan Yayasan FAS, Kelana Jaya selepas menyerahkan surat menawarkan diri untuk jawatan itu.

Mengulas lanjut sejauhmana mereka boleh bekerjasama bagi membangunkan FAS, Amiruddin berkata berdasarkan karekter Jamal, agak sukar untuk bekerjasama.

Kata Amiruddin, buat masa ini pihaknya juga sedang merancang perubahan bagi mengembalikan prestasi pasukan bola sepak Selangor namun enggan mendedahkannya.

"Kita ada rangka cadangan kita sendiri dan kita akan maklumkan kemudian," kata Amiruddin.

Terdahulu Jamal yang bermuka celoreng bendera Selangor bersama penyokongnya hadir ke pejabat FAS untuk menyerahkan surat itu bersama anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shohaimi Shadan dan exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Surat tawaran tersebut diserahkan kepada Exco FAS, Adnan Sarrif.

Selain itu, Jamal juga turut berjanji akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai selepas 14 hari jika dilantik menjadi presiden.

Pada 30 Disember lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali meletak jawatan sebagai presiden FAS kerana membantah budaya “politik berlebih-lebihan, melakukan kerja cara lama dan mentaliti bergantung kepada subsidi”.

Malaysiakini juga sedang menunggu maklum balas dari FAS berhubung tawaran Jamal itu.
 

Lihat Komen
ADS